Presiden NUJ didapati salah hina Utusan

Oleh Melissa Chi


KUALA LUMPUR, 14 April — Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari didapati salah terhadap lapan tuduhan memburuk-burukkan majikannya Kumpulan Utusan, yang dimiliki Umno.

Beliau berkata hukuman akan diputuskan oleh pengurusan kanan dan dijangka diketahui dalam dua minggu.

“Saya bersedia untuk menghadapi (keadaan) paling buruk,” katanya.

Sehingga tempoh itu, wartawan kanan ini akan kekal sebagai pekerja Kumpulan Utusan walaupun telah digantung sejak 11 Januari lalu sementara menunggu keputusan panel siasatan dalaman.

“Saya serahkan kepada pihak atasan untuk memutuskan, tetapi saya tidak tahu apa nak kata,” apabila ditanya mengenai hukuman yang bakal diterimanya nanti.

“Saya akan menerima apa sahaja keputusan kerana saya bukan orang yang akan membuat keputusan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Keputusan panel siasatan dalaman itu diumumkan oleh pengerusi jawatankuasa siasatan Mohd Basir Abdul Rahim bersama Pengerusi NUJ-Utusan Taufik Razak dan ahli majlis eksekutif Hayat Sueet.

Hata dituduh menghina pengurusan Kumpulan Utusan, yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan KOSMO melalui siri kenyataan beliau yang disiarkan dalam portal berita antara 21 September dan 14 Oktober lalu.

Beliau juga dituduh kerana meminta pihak berkuasa agar mengambil tindakan terhadap editor akhbar kerana mengeluarkan laporan-laporan bersifat perkauman.

Hata juga dipersalahkan kerana menyebabkan penurunan penjualan akhbar itu kerana menolak laporan yang bersifat retorik perkauman.

The Malaysian Insider sebelum ini melaporkan Hata mempunyai rancangan lain sekiranya dipecat.

Beliau telah mengumumkan untuk menerbitkan Utusan Rakyat dan telah menyampaikan rancangan baru itu kepada PKR dan Umno, sambil menambah akhbar itu tidak akan berpihak mana-mana parti.

Hata kemudian memilih untuk menerbitkan Harian Malaysia, sebuah akhbar elektronik yang mana beliau bekerja dengan abangnya seorang pereka grafik tapi menegaskan, ia masih dalam proses.

Tindakan sama turut pernah dikenakan terhadap Ketua cawangan NUJ Amran Ahmad, juga wartawan Utusan Malaysia, yang dipecat pada September 2009.

Umno mengambil alih hak pemilikan akhbar berbahasa Malaysia itu pada 1961, Hata berkata ia masih boleh mencapai objektif dan menjadi akhbar yang berkredibiliti.

No comments

Powered by Blogger.