Twitter, SMS sebar keputusan tak rasmi; SPR kata jangan percaya

Oleh G Manimaran

KUALA LUMPUR, 16 April — Dunia siber khususnya SMS dan Twitter sekali lagi mewarnai pilihan raya — hari ini membabitkan pilihan raya negeri bumi Kenyalang Sarawak sementara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan jangan percaya keputusan tidak rasmi.

Pilihan raya negeri Sarawak merupakan yang pertama ruang Twitter memainkan peranan signifikan dalam menyebarkan maklumat keputusan tidak rasmi.

Tiga tahun lalu SMS dan portal menjadi perhatian.

Penyokong dan pengikut kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) menyebar maklumat-maklumat berkaitan tidak rasmi — yang melibatkan pusat-pusat pengundian yang ditutup awal.

Misalnya pemegang akaun Twitter bgu_sarawak menghantar mesej sekitar 12.30 tengah hari mengatakan “keputusan tidak rasmi N70, Ba’kelalan sehingga kini PKr mendahului dengan 245 undi dan BN 223. undi rosak 3.”

Kerusi itu menyaksikan saingan sengit antara calon BN dan PKR. Tun Faisal dari Umno dalam mesejnya pula berkata, “PRN#Sarawak. Keputusan Tak Rasmi BN Mendahului di Beberapa Peti Undi, setakat jam 2.” Chang Lih Kang dalam mesejnya pula berkata, “tidak ramsi: N42 Meluan - SK Sg Merurun (PKR 88, BN 34); SK Lubok Assam - (PKR 135, BN 45).”

SMS yang diperoleh daripada jentera PKR pula berkata pihaknya mendahului di Tasik Biru, Layar, Krian, Ngemah, Tamin, Kakus, Belaga, Jepak dan Ba’kelalan.

Keputusan tidak rasmi itu diketahui lebih awal memandangkan satu pertiga pusat pengundian ditutup awal dengan lebih 1,000 ditutup pada 1 tengah hari tadi.

Sehubungan itu Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof meminta orang ramai agar tidak terpengaruh dengan keputusan pengundian untuk sesetengah kawasan yang diedarkan melalui internet dan khidmat pesanan ringkas sejak tengah hari tadi.

Beliau dipetik Bernama Online berkata, hanya keputusan yang dikeluarkan oleh SPR sahaja sah iaitu berdasarkan kepada maklumat yang telah diberi oleh setiap 71 pegawai pengurus pilihan raya yang telah dilantik.

“Saya telah dimaklumkan banyak sebaran dalam SMS, internet mengatakan parti tertentu telah menang pilihan raya di kawasan masing-masing. Ini maklumat tidak boleh dipercayai, hanya sumber daripada SPR sahaja yang sah,” katanya kepada pemberita.

No comments

Powered by Blogger.