Video seks palsu: Utusan tak berhak buat spekulasi- Hata Wahari

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Kesatuan Wartawan Nasional (NUJ), Hatta Wahari menggesa media arus perdana supaya lebih peka terhadap isu sensitif yang melibatkan soal maruah dan moral individu tertentu.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Utusan Malaysia yang menyiarkan gambar video fitnah yang didakwa melibatkan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim di muka depan akhbar itu semalam.

“Media perlu lebih menjaga sensitiviti supaya masyarakat tidak melabelkanya sebagai sebuah organisasi tidak bermoral dengan memaparkan perkara yang menyalahi etika kewartawanan.

“Memandangkan kes ini sedang disiasat, maka media tidak berhak membuat spekulasi mahupun menganggu tugasan polis,” kata Hatta yang juga bekas wartawan kanan di Utusan Malaysia.

Hata yang dihubungi Keadilandaily.com turut menyatakan kekesalannya apabila terdapat media cetak dan elektronik yang sanggup memaparkan gambar dari rakaman video fitnah tanpa memikirkan kesan kepada masyarakat.

“Apabila dicetak muka hadapan, mungkin kanak-kanak juga akan melihat dan kita bimbang mereka mudah terdedah kepada perkara yang tidak elok.

“Memandangkan golongan ini mudah terpengaruh, maka ianya boleh menyumbangkan masalah sosial apabila meningkat remaja,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak polis menyiasat segera individu yang menyebarkan rakaman video fitnah di laman youtube dan blog-blog tertentu.

“KDN dan polis mesti tegas menyiasat kes ini dan menangkap segera orang yang terlibat kerana membocorkannya kepada umum,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.