Kuan Yew: Generasi baru Singapura sudah mula lupa

SINGAPURA, 9 Mei — Bekas perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew dalam kenyataan pertama, secara tidak langsung mengenai pilihan raya republik itu berkata, tahun “2011 telah menyaksikan satu generasi yang tidak lagi ingat dari mana kita datang.”

Pada pilihan raya umum yang berlangsung kelmarin Parti Tindakan Rakyat (PAP) mengekalkan kerajaannya tetapi mengalami kemerosotan undi popular dan kerusi di Parlimen.

Pembangkang menguasai lapan kerusi daripada 87 kerusi diperuntukkan.

Buat julung kali pembangkang, Parti Pekerja (WP) memenangi kerusi Perwakilan Kawasaan Kumpulan Pilihan Raya (GRC), yang turut menyaksikan kekalahan menteri luar.

“Tetapi itu yang perlu dijangkakan. Tetapi saya dan mereka di kalangan anda, (berusia) lebih 50 akan ingat (dari mana kita datang),” katanya di sini semalam.

Justeru Lee yang kini merupakan Menteri Mentor mengingatkan bahawa, jangan mengharapkan “pesawat Singapura” akan bergerak menggunakan platform juruterbang auto.

Katanya, “pesawat Singapura” boleh bergerak dalam semua kesukaran dan kecemasan, tetapi “kita memerlukan juruterbang yang baik dalam kapal terbang.”

Lee, yang mempertahankan kerusinya tanpa cabaran bercakap kepada penduduk kawasan Queenstown untuk meraikan penyempuraan pembinaan beberapa pavilion di plaza komuniti.

Terdahulu, Lee bersama lima anggota GRCnya dan Ahli Parlimen Radin Mas Sam Tan melawat kawasan GRC Tanjong Pagar kira-kira dua jam dengan menaiki sebuah bas tanpa bumbung untuk mengucapkan terima kasih kepada pengundi kawasan tersebut.

PAP menang di Tanjong Pagar tanpa cabaran manakala Tan menguasai kerusi Radin Mas dengan lebih 67 peratus undi.

Ketika ditemui media, Lee ditanya mengenai peralihan sokongan kepada PAP yang hanya menerima 60.1 peratus berbanding 66.6 peratus pada 2006, paras paling rendah diperoleh parti itu.

“Saya pasti Perdana Menteri dan pasukannya akan melihat dan menganalisis secara mendalam sebab-sebab dan penerimaan polisi-polisi kita. Saya tidak boleh cakap lebih dari itu. Saya bukan Perdana Menteri,” kata Lee.

Ketika ditanya pemberita akhbar Berita Harian sama ada komen-komennya memberi ke atas arah aliran sokongan, Lee berkata, beliau tidak lihat begitu.

“Isu-isu nasional yang besar telah diketengahkan. Komen-komen saya sebahagian daripada buku yang saya tulis mengenai kebenaran yang sukar (diterima),” katanya lagi.

Mengenai soalan bagaimana PAP boleh bekerja dengan WP yang memperoleh lapan kerusi di Parlimen, demi kepentingan rakyat Singapura, Lee membalas:

“Adakah anda percaya Parti Pekerja (berada) di Parlimen untuk membantu rakyat Singapura atau membangkang PAP?” — Today

No comments

Powered by Blogger.