Umno, legitimasi dan perkauman — Roslee Mardan

12 MEI — Walaupun kebanyakan negara di dunia mempunyai pelbagai etnik atau kaum, Malaysia dilihat istimewa kerana asas kepada politiknya adalah kerjasama kaum. Semua dasar kerajaan, lantainya adalah soal kaum. Kedua barulah soal rakyat secara keseluruhan. Maka amat sukar untuk mendapat obligasi politik melalui legitimasi yang dijana daripada soal perkauman. Inilah yang dihadapi oleh kerajaan yang ditunjangi oleh Umno.

Baru-baru ini, pandangan bekas Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai semangat perkauman yang masih sukar diatasi dalam politik Malaysia menarik perhatian untuk direnungi bersama. Jika ini wajar dijadikan petunjuk, bermakna legitimasi kerajaan hari ini amat bergantung kepada soal politik perkauman.

Mengimbau kesan Pilihan Raya Umum Ke-12 sememangnya memberi impak mendalam kepada Barisan Nasional (BN). Parti politik orang Melayu, Umno juga tidak terlepas daripada hakikat ini. Dewasa ini, Umno sering menjadi sandaran kepada terhakisnya legitimasi kerajaan sampaikan ada analisis melontarkan hujah, walaupun parti-parti komponen seperti MCA dan MIC gagal berperanan menarik sokongan kaum mereka, namun bagi rakyat dan sekelompok pemimpin BN meletakkan Umno sebagai liabiliti ekoran kuasa politik yang sudah terlalu lama dipegang selain nilai dalaman Umno yang berakomodasi dengan pengoperasian parti menjadi kritikan. Berapa lama lagikah Umno masih diterima sebagai parti orang Melayu?

Benarkah Umno terus bergantung kepada sokongan orang bukan Melayu melalui BN? Apakah Umno mampu mengekalkan legitimasinya lanjutan politik kaum kini menjadi “ancaman” yang menggugat perjuangannya?

Logiknya, semua persoalan ini hanya sesuai diberikan kepada “orang politik” dalam Umno untuk menjawabnya. Tetapi setiap kali pilihan raya, yang mengundi adalah rakyat. Maka persoalan ini wajib dijawab bersama oleh orang Melayu sendiri atas kapasiti kaum mereka dan bukan sekadar sebagai pengundi.

Umumnya politik Malaysia tidak boleh lari daripada soal kaum kerana di situlah terletak kunci utamanya. Justeru, legitimasi parti kerajaan dan negara disandarkan kepada soal hubungan kaum yang mana sejarah lampau mesti dikekalkan sebagai rujukan utama. Sesungguhnya, pelaksanaan tugas atau obligasi politik multietnik melalui legitimasi ini adalah terletak di atas bahu Umno.

Penulis percaya sempena hari ulang tahun Umno yang ke-65, sudah tentu hal ini (legitimasi dan hubungan kaum) semakin menambah bebanan kepada Umno selaku “key person” atau aktor utama dalam arus politik perdana. Umno menanggung beban yang begitu berat. Soal kaum sendiri, soal kaum-kaum yang lain perlu dijaga dengan rapi bagi memelihara imbangan sosio-politik di negara ini.

Undi protes seperti yang dipersetujui oleh ramai penganalisis politik tanah air dalam PRU-12 melanjutkan politik perkauman di Malaysia. Tetapi, di pihak parti pembangkang, undi ini diterjemahkan sebagai gelombang kebangkitan rakyat. Bagi penulis, kalaupun benar kebangkitan rakyat, sebenarnya ia lahir dalam ruang kontenum realiti persaingan kaum yang bersembunyi di sebalik nama kerjasama politik. Dan mungkin ini adalah titik mula.

Umno telah menghadapi banyak cabaran. Cabaran paling sukar bagi Umno adalah mengukuhkan nilai dalaman parti seperti budaya politik dan kepimpinan. Walaupun Umno kekal sebagai parti peneraju dalam pentadbiran kerajaan tetapi legitimasinya kian terhakis.

Kini, Umno berhadapan dengan masyarakat Malaysia yang kian terbuka mengenai soal hak asasi dan kesamarataan yang semua ini adalah impak globalisasi. Pembangunan material yang selama ini menjadi wadah Umno kurang “laku” walaupun di kalangan kaumnya yang masih dilanda masalah kemunduran, kemiskinan dan ketinggalan berbanding kaum lain.

Nilai dalaman Umno masih menjadi perhatian orang Melayu sendiri dalam pada menentukan sokongan. Proses-proses dalam penentuan barisan kepimpinan Umno juga menjadi atribut penting dalam mengekalkan legitimasinya. Kepimpinan yang tegas terutama dalam kebolehan strategi menangani masalah perkauman di Malaysia amat penting untuk mewujudkan rasa “selamat” kaum Melayu di negara ini.

Amat pelik kalau dikatakan Melayu takut di tanah air sendiri tetapi dalam konteks masyarakat majmuk itulah realitinya kerana sejarah lampau sangat ngeri untuk diulangi semula.

Hari ini, “kebangkitan rakyat” atau lebih tepatnya politik kaum merupakan cabaran besar Umno. Walaupun, sikap “laissez faire” atau keterbukaan menangani politik kaum dapat meredakan hubungan di kalangan masyarakat Malaysia, orang Melayu tetap akan memerhati Umno. Sama ada kekuatan nilai dalaman parti yang kini sedang diperbaiki serta proses pemantapan kepimpinan dapat meyakinkan mereka, semuanya diletakkan di bahu parti Umno.

Umno akan sentiasa menerima kesan akibat politik kaum. Tetapi, apa yang boleh menyelamatkan legitimasi Umno adalah orang Melayu sendiri. Walaupun dengan kepimpinan baru, perubahan politik dilakukan, Umno tidak boleh sekali-sekali mengharapkan perubahan parti sahaja.

Apa yang turut diambil berat adalah bagaimana mendidik orang Melayu agar kesedaran terhadap nasib bangsa dapat memupuk rasa sentimental Melayu terhadap perjuangan bangsa. Ini tidak salah kerana kaum lain juga mempunyai rasa yang sama. Tidak salah juga Umno “meminta-minta” kepada orang Melayu supaya terus memberi sokongan padu.

Nilai keterbukaan Umno sepatutnya diterjemahkan sebagai keterbukaan kepada kaumnya sendiri. Pandangan kaum Melayu harus diterima untuk memperbaiki parti. Barulah orang Melayu berasa “selamat” di bawah naungan Umno. Jika keterbukaan terlalu diberikan kepada tuntutan lain sedangkan peluang tertutup bagi kaumnya, legitimasi Umno tidak akan selamat selamatnya.

Tetapi, mungkin ada yang mempersoalkan bagaimana pula tuntutan kaum lain yang bekerjasama dengan Umno? Sebab itulah pentingnya sejarah diambil kira sebagai rujukan utama. Memetik kata tokoh pemikir Barat “politics is service”. Maka sesuailah jika politik di Malaysia dilaksanakan sebagai politik untuk membangunkan rakyat dan negara bukan perlumbaan untuk memenangi antara satu sama lain sehingga mengorbankan perkara-perkara yang telah dipersetujui.

Peranan Umno, peranan orang Melayu, peranan parti-parti komponen perlu selari supaya bukan sahaja legitimasi Umno dapat dikekalkan tetapi juga melibatkan keabsahan orang Melayu sendiri serta parti-parti komponen yang lain. Ulang tahun yang ke-65 ini, apakah yang sedang direnungi Umno?

Apakah Umno masih relevan dan berupaya memimpin masyarakat majmuk kontemporari? Bagaimanakah Umno dapat terus mengekalkan kelangsungannya ketika semangat perkauman melangkaui fahaman ideologi parti-parti politik? Adakah orang Melayu masih setia kepada Umno? Inilah cabaran Umno hari ini. — Utusan Malaysia

* Penulis ialah Penolong Pendaftar Universiti Utara Malaysia.

No comments

Powered by Blogger.