Anjing Besar Laknat Tidak Akan Minta Maaf

Kristian-Islam: Blogger ‘Bigdog’ tidak akan mohon maaf

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 12 Mei — Dengan mempertahankan tulisannya, penulis blog “Bigdog”, yang mencetuskan provokasi berhubung dakwaan wujudnya konspirasi untuk menjadikan Kristian agama rasmi negara menegaskan, dia tidak akan membuat permohonan maaf atas laporannya, yang disifatkan banyak pihak sebagai fitnah.

Selain menjadikan Kristian agama rasmi negara, penulis blog itu juga mendakwa ia akan melantik perdana menteri dalam kalangan penganut agama itu.

Ekoran pendedahan penulis blog “Bigdog” itu, Utusan Malaysia telah memetik laporan tersebut dan disiarkan pada Sabtu lalu dengan tajuk “Kristian Agama Rasmi?” yang mendapat bantahan dan dikritik banyak pihak termasuk daripada pemimpin Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN).

Laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia itu turut disiarkan dalam beberapa blog pro-Umno.

Penulis blog tersebut yang enggan namanya didedahkan menerusi entri bertajuk “Making Christianity the official religion?” mendakwa paderi-paderi Kristian mahu perdana menteri dilantik daripada kalangan penganut agama itu.

Selain itu, nama Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi dari DAP juga diheret dalam tulisan blog berkenaan kerana beliau dilaporkan hadir bersama.

“Tidak (akan minta maaf), atas alasan apa saya perlu minta maaf? Kenapa saya perlu minta maaf? Kepada siapa saya harus minta maaf?

“Saya tidak akan minta maaf, saya tidak tahu sebab apa (perlu minta maaf), mereka perlu baca balik laporan saya itu, kalau tidak faham saya boleh jelaskan,” kata penulis blog “Bigdog” kepada The Malaysian Insider.

Ditanya sama ada laporan yang ditulis itu benar atau palsu, penulis blog “Bigdog” enggan memberikan sebarang komen.

Sebaliknya hanya berkata: “Saya tidak boleh cakap, sebab ia sudah jadi kes polis, sudah ada laporan polis dibuat.

“Jadi biar polis siasat dulu,” katanya.

Selain enggan meminta maaf, penulis blog itu juga enggan menarik balik laporan yang telah ditulis itu sambil menyifatkan tiada alasan untuk dia berbuat demikian.

Sebuah lagi blog yang turut mendakwa kewujudan konspirasi itu telah memadamkan entri-entri itu.

Selain blog “Bigdog”, blog “Marahku” merupakan blog yang dipetik Utusan Malaysia yang dalam laporan itu menuduh DAP mungkin terlibat dalam konspirasi tersebut.

“Buat apa saya perlu tarik balik? Saya tidak akan . . . biarkan sahaja ia di situ,” kata penulis blog “Bigdog”.

Blog “Bigdog” juga menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan rahsia antara DAP dan pastor-pastor di sebuah hotel di Pulau Pinang minggu lalu.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin DAP telah menafikan perkara tersebut sambil mengulangi pendirian mempertahankan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Penganjur program itu — Pertubuhan National Evangelical Christian Fellowship (NECF) bersama Global Day of Prayer, Marketplace Penang dan Penang Pastors Fellowship menegaskan dakwaan terhadap komuniti adalah pembohongan dan telah pun menafikan dakwaan blogger berkenaan.

The Malaysian Insider pagi semalam melaporkan sebuah blog pro-Umno mengecam pendedahan provokasi yang dibawa blogger “Bigdog”.

Blogger “Papa Gomo” menerusi entri “Negara Kristian — Tangkap Sumbat Dalam ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) Si Bigdog Ini” mengecam tindakan yang dilakukan “Bigdog” atas alasan mengeluarkan laporan berunsur fitnah dan tidak benar.

Selain itu, penulis itu juga mahu “Bigdog” ditahan di bawah ISA jika terbukti laporan yang dikeluarkan itu berunsur fitnah.

No comments

Powered by Blogger.