PAS ulangi pendirian tetap bersama Pakatan Rakyat

Oleh G Manimaran, Latifah Kasmuri dan Zulaikha Zulkifli


GOMBAK, 3 Jun — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi pendirian partinya akan terus bersama Pakatan Rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 meskipun dihujani siri pelawaan dan jemputan daripada kepimpinan Umno sepanjang tiga tahun lalu.

“PAS akan bersama dengan rakan dalam Pakatan Rakyat untuk menggerakkan agenda perubahan sebagaimana yang dipersetujui dalam dokumen Dasar Bersama Pakatan Rakyat, yang sudah diperbahas dan diterima oleh PAS,” kata beliau dalam ucapan dasar pada Muktamar Tahunan Ke-57 yang disampaikan pagi tadi di Dewan Kolej Universiti Islam Datuk Zulkifli Ahmad, Taman Melewar dekat sini.

Kata Hadi, ia melibatkan satu paradigma baru pendemokrasian, suatu islah menyeluruh dalam sistem pemerintahan dan urus tadbir negara.

“Perubahan ini tidak memberi sebarang makna sekiranya tidak melibatkan reformasi spiritual dan kesejahteraan fikiran rakyat,” katanya.

Sejak pilihan raya umum 2008, PAS menerima pelawaan demi pelawaan sama ada secara langsung daripada Umno sendiri ataupun daripada pihak-pihak yang pro-Umno termasuk beberapa tokoh agama agar ia meninggalkan Pakatan Rakyat untuk bersama BN atau bergandung dengan Umno.

Idea itu termasuk membentuk kerajaan perpaduan bersama Umno.

Pelawaan itu sendiri pernah dipanjangkan oleh Datuk Seri Najib Razak selaku pengerusi BN dan presiden Umno dan juga timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Awal tahun ini, The Malaysian Insider pernah membawa laporan bahawa empat pemimpin dari PAS dan Umno bertemu di Istana Terengganu, Kuala Lumpur dan ada menyentuh soal kerjasama kedua-dua parti.

Hadi menambah, “kita sama-sama sedar bahawa demokrasi sedia ada dalam negara kita sudah tempang, akibat dari kerakusan Umno-BN yang ingin mengekalkan kuasa mereka sampai bila-bila.”

“Pun begitu, sehingga kini kita tetap mendahulukan pendekatan damai secara demokrasi, sehingga PAS bersabar menunggu walaupun dijatuhkan secara yang tidak bermoral, beretika dan melanggar asas-asas perlembagaan,” katanya.

Menurut Hadi, rakyat hanya berpeluang mengundi dengan sistem lama yang terlalu lemah dengan minda yang tertutup, peluang yang sempit dan cara yang tidak telus.

“Rakyat tidak boleh menjadi hakim yang adil mengikut makna demokrasi yang sebenar. Demokrasi bukan sahaja hanya memangkah kertas undi.

“Amalan demokrasi menuntut rakyat berpeluang mendapat maklumat daripada semua parti dan calon yang bertanding melalui media yang terbuka,” katanya lagi.

Kata Hadi, PAS akan meneruskan kempen dan membawa suara rakyat yang mahukan pendemokrasian menyeluruh dilakukan dalam sistem pilihan raya melalui langkah-langkah yang akan disusun oleh jentera parti, termasuklah menggerakkan ahli turun menyuarakan bantahan secara terbuka bersama dengan NGO yang ingin melihat suatu sistem yang lebih adil dan telus dalam negara kita ini.

Katanya, PAS juga memperjuangkan kebebasan bersuara dan kebebasan media secara adil dan bertanggungjawab, akan terus memperhebatkan tekanan ke arah pembubaran akta yang menekan media seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, dan seumpamanya.

“PAS juga komited memperjuangkan pemansuhan akta-akta yang zalim dan disalahgunakan seperti ISA, dan melakukan islah menyeluruh dalam mengembalikan kewibawaan institusi penting dalam negara seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pejabat Peguam Negara serta PDRM.

“Islah ini bukan sahaja menuntut perubahan sistem, tetapi memerlukan pengislahan minda dan spiritual seluruh pegawai atau manusia yang menggerakkan sistem itu sendiri,” katanya.

Kata Hadi, muafakat bersama PAS ini juga berikrar untuk membetulkan konsep federalisme songsang yang diamalkan oleh Umno-BN pada waktu ini, terutamanya memantapkan semangat persekutuan serta hubungan yang adil di antara Persekutuan dengan negeri-negeri, terutama Sabah dan Sarawak.

No comments

Powered by Blogger.