Sebaran: Kaji Semula Cadangan Mekanisma Perlepasan Unit-Unit Hartanah Kouta Bumiputra Selangor

Kenyataan Media

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Rabu 08 Jun 2011

Kaji Semula Cadangan Mekanisma Perlepasan Unit-Unit Hartanah Kouta Bumiputra Selangor

Pemuda PAS Negeri Johor memandang serius bantahan yang telah di buat oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berhubung dengan cadangan pindaan yang akan dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor terhadap Mekanisma Pelepasan Unit-Unit Hartanah Kouta Bumiputra di negeri ini. Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah mencadangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada 2hb Mac 2011 berhubung cadangan mekanisma pelepasan unit-unit hartanah kouta Bumiputra. Walaubagaimana pun Y.A.B Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah mengarahkan agar kajian semula cadangan tersebut supaya ia bersifat ‘self regulatory’.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor difahamkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor akan meluluskan pindaan baru dalam masa yang terdekat. Kami berpendapat terdapat beberapa ruang yang merugikan bumiputra jika cadangan ini diluluskan. Ruang ini akan mudah dimanipulasi oleh pihak berkepentingan. Berikut dinyatakan beberapa perkara yang seharusnya di ambil perhatian oleh pihak kerajaan negeri :

1. Tidak terdapatnya penandaan pelan untuk kouta bumiputra yang wajib dilaksanakan oleh pihak pemaju. Penandaan pelan ini berperanan untuk menentukan dimana lokasi yang telah dikhaskan kepada bumiputera. Ini memudahkan pihak kerajaan membuat pemantauan. Jika tiada sebarang penandaan pelan maka ruang ini sangat mudah dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab. Contohnya menyediakan lokasi bumiputra ditempat tidak strategik, menyembunyikan kouta bumiputra daripada pembeli dan memindahkan sesukahati lokasi hartanah bumiputra. Menariknya, terdapat cadangan penandaan pelan semasa cadangan dibentang pada 2hb Mac 2011 tetapi sekarang telah digugurkan. Kerajaan Negeri Selangor perlu memberi justifikasi yang jelas kepada rakyat kenapa digugurkan penandaan pelan kouta bumiputra jika mahu meluluskan cadangan ini.

2. Tiada terdapatnya peranan Jawatankuasa Penandaan Unit Kouta Bumiputra(JPUKB) dalam cadangan terbaharu kerajaan negeri. JPUKB beperanan untuk memastikan kouta Bumiputra yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri(PBN) dipenuhi dan menentukan unit-unit jualan bagi kouta Bumiputra berdasarkan kelulusan PBN. Dalam cadangan kerajaan negeri yang bersifat ‘self regulatory’ , telah mengugurkan kuasa JPUKB dan telah diganti oleh badan audit bebas. Pemaju dapat meluluskan perlepasan kouta bumiputra secara automatik. Badan audit bebas akan dilantik untuk membuat audit bagi mengelakkan penipuan daripada pihak pemaju. Masalahnya cadangan kerajaan negeri yang bersifat ‘self regulatory’ dilihat terlalu longgar dan tidak jelas bagaimana kouta bumiputra boleh dipertahankan. Bagaimana rakyat mahu mambuat bantahan jika kerajaan negeri sendiri pun tidak jelas apa yang perlu dipertahankan.

3. Dalam cadangan terbaharu ini tidak dijelaskan dengan nyata peranan badan-badan yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk membeli hartanah bumiputra yang tidak mampu di beli oleh pembeli bumiputra. Contohnya seperti PHSSB(Perumahan Dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd). Peranan PHSSB adalah sebagai pengurus kepada semua hartanah bumiputra. Ia mampu mencari keseimbangan dalam mengatasi masalah hartanah bumiputra yang tidak mampu dibeli. Kepincangan ini dikuatiri akan menyebabkan ketidakseimbangan penduduk dalam sesuatu taman perumahan. Masalah ini akan meningkatkan jurang perkuaman yang sangat merbahaya dalam negara kita.

Pemuda PAS Johor berpendapat bahawa Kerajaan Negeri Selangor harus mengkaji semula cadangan mekanisma perlepasan unit-unit hartanah kouta bumiputra dengan cara mendapatkan pandangan banyak pihak sebelum meluluskan cadangan tersebut. Pemimpin masyarakat, NGO, tokoh-tokoh akademik, budayawan dan lain-lain harus dilibatkan dalam membuat keputusan mencari jalan tengah mengatasi masalah hartanah bumiputra di Negeri Selangor. Pemuda PAS Negeri Johor tidak mahu Kerajaan Pakatan Rakyat khususnya Selangor difitnah oleh pihak tertentu kononnya tidak memberi penekanan kepada kepentingan orang Melayu dan bumiputra seperti yang tercatat dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia.

Suhaizan Bin Kayat

Ketua Pemuda PAS

Negeri Johor

019-7285174

No comments

Powered by Blogger.