Guna kepakaran, ketrampilan dan bakat ahli parlimen

Sekretariat Pakatan Rakyat

Pada mesyuarat minggu ini, Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan Rakyat telah memberi tumpuan kepada proses penyediaan Bajet itu sendiri.

Tumpuan pihak media dan masyarakat awam selama ini hanyalah kepada ucapan pembentangan Bajet Menteri Kewangan . Selepas hari-hari berikutnya kita disogok dan disibukkan dengan petikan demi petikan berbagai golongan berkepentingan yang memuji melambung, perhatian pihak media dan masyarakat awam kemudiannya akan dialihkan kepada perkara lain pula.

Perkara yang sering dilupakan adalah tujuan utama sang Menteri Kewangan memberi ucapan dan membentangkan Bajet cadangan tersebut, iaitu:

“Bajet cadangan yang dibentangkan itu adalah untuk penelitian, pertimbangan dan kelulusan Parlimen.”

Di dalam sesebuah sistem demokrasi berparlimen, YB ahli-ahli Parlimen adalah di pertanggungjawabkan untuk memberi pengisian dan pengawas-seliaan keatas perancangan pihak Eksekutif, iaitu kerajaan yang memerintah. Fungsi ini dianggap begitu penting hinggakan tidak kurang dari 18 hari bersidang iaitu hampir satu bulan kalendar bekerja diperuntukkan untuk perbahasan mengenai Bajet cadangan itu di peringkat Jawatankuasa.

Di peringkat Jawatankuasa ini, Bajet untuk setiap Kementerian sepatutnya akan dibincang dan dibahaskan secara terperinci. Namun begitu, pada masa ini perbahasan yang terperinci tersebut bagaikan mimpi indah sahaja di Malaysia.

Di Parlimen-parlimen Dunia Pertama, terdapat jawatankuasa spesifik yang benar-benar mengawas-selia setiap kementerian. Jawatankuasa tersebut pula dianggotai oleh YB ahli-ahli Parlimen dari kedua-dua belah pihak kerajaan dan pembangkang;
Di Malaysia, tidak wujud sebarang jawatankuasa seperti itu. Keseluruhan anggota Dewan Rakyat juga merupakan anggota jawatankuasa tersebut. Keadaan seperti ini menjadikan perbahasan dan pengawas-seliaannya dangkal dan tidak berkesan.

o YB Ahli Parlimen tidak mempunyai peluang untuk membina ketrampilan dan pengetahuan khusus untuk kementerian tertentu;

o YB Ahli Parlimen yang mempunyai pengetahuan, kebolehan dan wawasan untuk disumbangkan mungkin tidak dapat berbuat demikian sekiranya tidak berjaya menarik perhatian Speaker/ Yang Dipertua Dewan;

o YB Ahli Parlimen mungkin mengalami kelesuan tumpuan sekiranya Parlimen bersidang hingga larut malam untuk mengejar jadual perbahasan;

o Masa yang diperuntukkan adalah tidak mencukupi kerana kesemua 25 kementerian persekutuan itu akan dibahaskan oleh “jawatankuasa” yang sama dalam tempoh masa 18 hari sahaja;

Sebarang sumbangan pengisian dari YB Ahli-ahli Parlimen mestilah dianggap penting dan berharga. Ini adalah kerana mereka mewakili kepentingan rakyat. Pakatan Rakyat mahu supaya dilaksanakan perbahasan peringkat jawatankuasa yang sebenar-benarnya,:

Untuk permulaan, sebanyak 7 buah Jawatankuasa akan ditubuhkan. Jawatankuasa-jawatankuasa tersebut bakal dianggotai oleh campuran YB Ahli-ahli Parlimen dari pihak kerajaan dan pembangkang, mengikut kadar perwakilan di dalam Dewan yang dimenangi masing-masing;

Anggota-anggota Jawatankuasa akan diberi peruntukan yang sewajarnya untuk menggajikan para pembantu penyelidik Parlimen yang boleh membantu meningkatkan tahap keberkesanan.

Pakatan Rakyat percaya usul ini akan melahirkan Bajet-bajet akan dating yang lebih berkesan dan memaparkan keperluan dan kehendak rakyat sewajarnya:

YB Ahli-ahli Parlimen yang berkhidmat lama boleh menimba pengetahuan dan membina kepakaran dan pengalaman khusus untuk membantu mereka untuk meneliti dan membahas dengan berkesan serta berupaya mengutarakan pengisian dan pemikiran yang bernas dan tuntas;

Apabila saiz jawatankuasa semakin kecil, anggota-anggotanya boleh melibatkan diri di dalam perbahasan dan perbincangan dengan lebih bermakna. Jawatankuasa yang lebih kecil juga akan membolehkan interaksi yang lebih produktif dan mengurangkan pendekatan berpuak-puak. Tidak sepertimana yang berlaku sekarang ini dimana pihak kerajaan dan pembangkang seolah-olah menjadi kemestian utk bertelingkah.

Pakatan Rakyat mencadangkan penubuhan 7 buah Jawatankuasa berikut dan kementerian-kementerian yang akan diawas-selia dibawahnya (penamaan kementerian adalah mengikut apa yang dilaksanakan kerajaan sekarang dan tidak sesekali mencerminkan pemikiran dan pendirian PR) :

1. Hal-ehwal Nasional dan Antarabangsa

Jabatan Perdana Menteri
Kementerian Luar Negeri
Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan
Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar

2. Ekonomi & Kewangan

Kementerian Kewangan
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
Kementerian Pelancongan

3. Keselamatan

Kementerian Pertahanan
Kementerian Dalam Negeri

4. Pendidikan, Bakat & Pekerjaan

Kementerian Pendidikan
Kementerian Pendidikan Tinggi
Kementerian Sumber Manusia

5. Pertanian dan Pembangunan Wilayah

Kementerian Industri Perladangan dan Komoditi
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah

6. Infrastruktur, Pengurusan Sumber & Alam Sekitar

Kementerian Kerja Raya
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
Kementerian Sains, Teknologi dan Innovasi
Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air

7. Kesejahteraan Komuniti

Kementerian Pengangkutan
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Kementerian Kesihatan
Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Kementerian Belia dan Sukan

DIKELUARKAN BAGI PIHAK SEKRETARIAT PAKATAN RAKYAT

Oleh wakil-wakil parti:

YB DR. DZULKEFLY AHMAD, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Islam Se-Malaysia

YB LIEW CHIN TONG, Setiausaha, Hal-ehwal Antarabangsa Democratic Action Party

YB NURUL IZZAH ANWAR, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat

9 September 2011

No comments

Powered by Blogger.