Bersih: Penarikan tanpa mohon maaf hina Ambiga dan rakyat
Jun 28 2012 / Keadilan Daily
(Oleh Aisha Geoffrey)
KUALA LUMPUR 28 Jun: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) mengecam sekeras-kerasnya penarikan balik kenyataan oleh Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohammad Aziz yang meminta Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan digantung sampai mati kerana didakwa mahu menggulingkan kerajaan.
Ahli Jawatankuasa Bersama Pemandunya, Dr Wong Chin Huat berkata, kelancangan Mohamad itu perlu bersekali dengan permohonan maaf kerana tanpa tindakan itu beliau dianggap telah menghina.
"Penarikan balik tanpa memohon maaf merupakan satu penghinaan kepada Datuk Ambiga sendiri, Parlimen dan seluruh rakyat Malaysia," tegasnya.
"Bukan hanya Sri Gading patut mohon maaf, Ahli Parlimen Lenggong (Datuk Shamsul Anuar Nasarah) yang turut setuju dengan cadangan itu juga perlu minta maaf.
"Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai ketua kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional sepatutnya tidak berdiam diri, beliau patut mengawal anak buahnya dari mengeluarkan kenyataan sebegitu. Dengan berdiam diri maknanya dia juga bersetuju," katanya dihubungi Keadilan Daily.
Mengulas mengenai kenyataan kononnya Ambiga patut dihukum bunuh kerana cubaan menggulingkan kerajaan, Wong menegaskan, Ambiga hanya menggunakan haknya sebagai rakyat yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan untuk menuntut pilihan raya adil dan bersih.
"Jika menuntut perkara sebegitu merupakan satu penderhakaan, maka kami Jawatankuasa Bersama (Bersih) dan seluruh 300,000 rakyat yang hadir pada himpunan Bersih 3.0 juga patut digantung!" tegas Chin Huat lagi.
Mohamad menarik balik kenyataannya itu hari ini setelah diarahkan Timbalan Speaker, Datuk Wan Junaidy Jaafar.
Dalam sidang Dewan Rakyat kelmarin, beliau mahu Ambiga dikenakan hukuman gantung.
Mohamad menuduh Ambiga membuat khianat dan ingin menjatuhkan kerajaan melalui perhimpunan Bersih 28 April lalu.
Ianya selepas Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng bangun meminta satu keputusan berhubung kenyataan Mohamad yang disifatkannya sebagai keterlaluan, berbaur hasutan dan perkauman serta boleh mengancam nyawa Ambiga.
No comments
Post a Comment