Demokrasi kebudak-budakan UMNO – Oleh Adil Mat Selamat
14 June 2012
Sistem demokrasi di Malaysia khususnya dalam konteks hak berpilihan raya kini sudah sampai ke satu titik noktah bila mana penentuan tarikh pilihan raya terletak bulat-bulat di tangan Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri Malaysia – kini disandang oleh Najib Razak.
UMNO-BN mewarwarkan bahawa demokrasi Malaysia ini tulen dan telus, kini nyata sekali sekadar retorik politik. Demokrasi memang bukan sekadar pilihan raya lima tahun sekali, ia memerlukan pilihan raya yang bersih, telus dan adil. Hak berpilihan raya ini sudah menjadi hak awam.
Bagaimana mungkin hak-hak awam, yakni hak warganegara yang bertamadun ini, dikuasai oleh hanya satu tangan tunggal, iaitu di bawah kuasa PM seorang diri?
Sungguh pun ia bukanlah suatu kesalahan dari segi perundangan, moral demokrasi itu tidak ada. Mengapa kita katakan demikian? Kerana, dalam apa jua sistem atau undang-undang, nilai moral adalah menjadi roh kepada keutuhan sistem tersebut. Tidak mungkin undang-undang atau sesuatu hukuman itu, tidak mengambil kira kesan terhadap hal moraliti.
Adalah jelas menunjukkan bahawa teka-teki berhubung tarikh pilihan raya, pembubaran Parlimen dan sebagainya, secara langsung akan memberi kesan kepada urusan harian rakyat. Urusan kerja dan tugas, urusan sekolah, urusan jual beli termasuk bayaran hutang akan tertangguh, urusan percutian bersama keluarga – semua ini akan menjadi alasan dan sebab terganggunya aktiviti ekonomi dan sosial.
Kesan ini lebih hebat kepada rakyat daripada kesan usahawan Melayu pro-UMNO berkereta mewah yang menyamar sebagai penaja kecil untuk merungut tentang perhimpunan Bersih 3.0 yang lalu.
Jenaka demokrasi UMNO
Hingga baru-baru ini, pihak PAS telah memberi isyarat dan peringatan kepada ahlinya agar menangguhkan hajat menunaikan haji semata-mata kerana ‘culaan’ tarikh pilihanraya. Lantaran itu berhujahlah puak-puak UMNO dengan menggambarkan seolah-olah PAS telah melanggar syariat Islam.
Inilah lawak jenaka yang menyedihkan bila mana isu ibadah haji, tanggungjawab sebagai Muslim telah dikelirukan oleh juak UMNO. Isu ini pun nak guna untuk raih undi, miskin sekali kempen politik mereka.
Kini, rasional kuasa penentuan pilihan raya di tangan seorang Perdana Menteri tidak lagi relevan dalam dunia serba canggih. Dalam kalendar Islam, telah jelas bagaimana sesuatu tarikh ibadah puasa atau Idulfitri itu ditentukan oleh kaedah hisab dan rukyah. Mengapa UMNO tidak mahu belajar darinya?
Di negara-negara yang kita anggap sekular dan tidak Islam, bangsa dan budaya mereka masih boleh membezakan antara hak awam dan hak seorang Perdana Menteri. Hak-hak ini tidak menindih antara satu sama lain.
Jika Tun Mahathir Mohamad bilang ‘demokrasi ada batasannya’, maka benarlah demokrasi kebudak-budakan UMNO, yakni hanya pemimpin UMNO yang tentukan apa itu demokrasi manakala yang lainnya, termasuk definisi demokrasi sebenar, dianggap mahu menggulingkan kerajaan.
Kita tidak boleh biarkan lagi sistem sebegini diteruskan lagi. UMNO-BN tidak serius untuk reformasi kerajaan. Segala macam programnya untuk transformasi hanyalah pembaziran wang cukai rakyat untuk mengekalkan kuasa mereka tanpa mempedulikan rakyat.
Pakatan Rakyat telah pun membuktikan iltizam dan amalan di negeri-negeri yang mana mereka diberi mandat. Pakatan memang cakap serupa bikin. Cara untuk mereformasikan negara kita adalah dengan memberikan kemenangan kepada Pakatan pada pilihan raya umum kali ini. – Roketkini.com
No comments
Post a Comment