Kajol akan cuba insaf, akur keputusan mahkamah
ADILA SHARINNI WAHID
KOTA BHARU - “Saya akan cuba insaf.” Demikian kata penyanyi dikir barat moden terkenal, ‘Kajol’ atau nama sebenarnya, Mohd Hafiz Jeffri, 26, selepas Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam menerima rayuan berhubung sabitan hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Rendah Syariah, Tanah Merah, tahun lalu.
Hakim Syarie, Abu Bakar Abdullah Kutty dalam penghakimannya bagaimanapun menggantung pelaksanaan hukuman penjara itu selama setahun dengan syarat Kajol berkelakuan sopan dalam tempoh berkenaan.
“Mahkamah menggantung hukuman penjara yang dikenakan terhadap perayu dan perlu memastikan tidak ada kesalahan sama berbangkit dalam tempoh itu. Jika perayu gagal, maka hukuman akan terlaksana,” katanya.
Pada prosiding semalam, Kajol yang diwakili Peguam Syarie, Mohd Zaki Zainal Abidin, hadir berkopiah putih bersama keluarga manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie negeri, Norhasni Ridhwan Hassan.
Ketika ditemui diluar mahkamah, Kajol berkata, dia berpuas hati dengan keputusan itu dan berkata akan cuba berubah serta mengurangkan aktiviti persembahan dikir barat.
“Saya akan cuba insaf secara perlahan-lahan, kalau hendak secara mendadak saya tidak pasti tetapi perkara yang berlaku ini mungkin akan memberi pengajaran kepada saya,” katanya.
Terdahulu, pada 21 Jun 2011, Mahkamah Rendah Syariah, Tanah Merah menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 atau lima bulan penjara jika gagal membayar denda terhadap Kajol selepas mengaku salah terhadap tuduhan berperwatakan seperti wanita dan berpakaian tidak senonoh di khalayak ramai di tapak ekspo, 15 April tahun sama.
Dia yang menjelaskan denda tersebut, kemudiannya mengemukakan rayuan supaya hukuman penjara itu diketepikan.
Kajol yang juga Orang Asli suku Temiar dari Rancangan Penyusunan Semula (RPS) Orang Asli, Kuala Betis, Gua Musang itu, sebelum ini menimbulkan kontroversi apabila perbuatannya yang tampil berperwatakan lembut dikritik ramai pihak
No comments
Post a Comment