Luahan Hati YB Saifuddin MP Machang Mengenai Ustaz Yahya Osman
Saya mula mengenali Ustaz Yahya Osman ketika menjadi mahasiswa di UPM tahun 1980an. Ustaz Yahya seringkali hadir sebagai pembentang kertas kerja dalam program-program tamrin kampus. Wataknya yang lemah lembut, penyampaian dan kupasan yang padat dan sarat dengan mesej perjuangan, keupayaan mengaitkan dengan perkembangan dan realiti politik semasa, menjadikan sesi beliau sentiasa dinantikan. Pesannya prinsip perjuangan biar teguh dan kekal namun pendekatannya boleh sahaja berubah. Impak dan kesannya kepada mahasiswa yang diasuh dan dibimbingnya amat luar biasa.
Pada awal 1994 ketika itu Ustaz Yahya Osman menjadi Exco Kerajaan Kelantan. Kelantan baru sahaja meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah dan perdebatan tentangnya cukup panas dan meluas. Saya pula bertugas sebagai Setiausaha Politik Menteri Undang-Undang Dato Syed Hamid Syed Jaafar Albar. Ustaz Yahya Osman menghubungi saya minta diaturkan pertemuan dengan menteri untuk maksud menyampaikan isi kandung enakmen tersebut. Ustaz Yahya memilih pendekatan bersemuka dan menerangkan setiap fasal demi fasal darihal enakmen tersebut kepada menteri dan pegawai-pegawai tinggi kementerian ketika itu. Saya akan sentiasa mengingati bagaimana Ustaz Yahya yang mengetuai delegasi tujuh orang mewakili kerajaan negeri Kelantan, menyampaikan penerangan dengan penuh hikmah dan menjawab persoalan yang ditimbulkan dengan tenang dan meyakinkan. Nampak kehebatan dan wibawanya sebagai seorang da’ie, berhujah berdasarkan ilmu dan melihat orang yang belum faham sebagai sasaran dakwah. Dato Syed Hamid Syed Jaafar Albar kemudiannya menulis sebuah makalah ringkas “Keadilan di dalam Islam” dan kandungannya banyak berupa sedutan pandangan-pandangan Ustaz Yahya Osman!
Empat belas tahun kemudian, 2006 saya bertugas sebagai pengurus Tabung Amanah Tok Kenali kerajaan negeri Kelantan. Fungsi utama Tabung Amanah Tok Kenali seperti disebut di dalam undang-undang tubuhnya “ ..menjalankan program-program pembangunan sumber manusia”. Orang pertama saya temui ialah Ustaz Yahya Osman untuk meminta pandangan. Ustaz Yahya Osman seterusnya menjadi tenaga utama dalam program-program latihan anjuran Tabung Amanah Tok Kenali membabitkan pelbagai segmen masyarakat Kelantan sepanjang 2006 dan 2007. Setiap minggu – penghulu, imam, belia, mahasiswa, ahli-ahli majlis, pimpinan masyarakat dihimpunkan dalam program tiga hari dua malam di Lata Belatan Besut, Kem Desa Mahmud, MADU dan Putik. Ustaz Yahya Osman menjadi tenaga pembimbing utama. Nasihat, asuhan dan tegurannya kepada saya secara peribadi akan terus meninggalkan kesan besar terhadap saya.
Apabila nama saya diumumkan sebagai calon parlimen machang pada Mac 2008, Ustaz Yahya Osman sendiri mengadakan satu majlis di rumahnya di Labok Machang menghimpunkan semua pimpinan parti dan masyarakat untuk memperkenalkan saya sebagai anak didiknya yang diasuh sejak zaman pelajar dan meminta kalangan yang hadir bekerja membantu memenangkan saya. Seringkali apabila berkunjung ke rumahnya ada sahaja buku terbaru yang diberikannya kepada saya. Makalah kecil “Pesanan Saidina Ali” antara rujukan utama pemberian Ustaz Yahya Osman. Tatkala menziarahi beliau sejurus saya selesai menyampaikan pembentangan kepada tamrin mahasiswa di Darul Quran, beberapa bulan lepas, Ustaz Yahya Osman memberitahu hasratnya menulis buku berupa kompilasi kertas-kertas kerjanya. Tidak pula saya ketahui sama ada hasratnya terlaksana!
Satu ketika awal tahun 2009 saat menemani Dato Seri Anwar ke Mesir menziarahi Sheikh Mehdi Akif, saya diperkenalkan oleh Dato Seri Anwar kepada Sheikh Mehdi sebagai Ahli Parlimen dari Kelantan. Masih saya ingat tatkala Sheikh Mehdi kemudian bertanya balas, “saudara datang dari Kelantan? Apa khabar sahabat saya Ustaz Yahya Osman?” Sheikh Mehdi kemudian menceritakan bagaimana mereka ketika usia belia saling mengenali dan bergiat aktif memperjuangkan isu-isu umat Islam dalam pelbagai platform belia Islam antarabangsa. Maka fahamlah saya mengapa Ustaz Yahya Osman muncul sebagai seorang pendakwah dan murobbi yang sangat dihormati kewibawaanya. Kenalan, jaringan antarabangsa dan digabungkan pula dengan pengalaman gerakan Islam adalah ramuan nya.
Kelebihan tersendiri Ustaz Yahya Osman ialah penguasaan beliau dalam bahasa Arab. Dato Seri Anwar sering berseloroh bagaimana Ustaz Yahya Osman kalau berbicara dalam bahasa Melayu sekalipun lebih banyak tersasul dan mencampuradukkan dengan istilah-istilah Arab!
Saat saya menulis catatan ringkas ini, Dato Seri Anwar Ibrahim sedang berada di Jepun. Saya mengirim email kepada beliau memaklumkan berita kematian Ustaz Yahya Osman. Saya cukup pasti Dato Seri Anwar amat merasai kehilangan seorang sahabat yang beliau kasehi. Saya pula akan terus mengingati Ustaz Yahya Osman sebagai seorang guru, murobbi dan sahabat yang bertanggung jawab besar membentuk pandangan dan pemikiran saya. Semoga rohnya ditempatkankan Allah swt bersama roh orang–orang yang beriman. Amin.
Penulis ialah Ahli Parlimen Machang dan Setiausaha Agung PKR.
No comments
Post a Comment