Isu Felda: Kami tidak biadap, kata Pengerusi Anak

Oleh: Jamilah Hamzah
Tarikh: June 17, 2012

SHAH ALAM - Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) menegaskan, tindakan pihaknya menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menghalang penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia satu tindakan yang wajar dan bukannya biadap seperti didakwa Umno.

Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, persatuan mereka melakukan perkara yang betul bagi memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara bagi menghalang penyenaraian FGVH.

"Kami tak rasa salah dan biadap kalau kami cuba menyelesaikan isu ini melalui Yang di-Pertuan Agong kerana baginda ketua negara.

"Kami juga yakin Majlis Raja-raja akan memperkenankan usul yang diperjuangkan Anak ini," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Semalam, ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan tindakan Anak yang cuba mengheret istana dalam isu penyenaraian FGVH sebagai satu tindakan biadap dan perjuangan yang tidak jujur.

Beliau berkata, tindakan Pengerusi Anak yang mahu membabitkan Yang di-Pertuan Agong supaya campur tangan bagi menghalang penyenaraian itu, adalah satu percubaan mengheret istana dalam kancah politik pihak pembangkang.

"Anak tidak jujur dalam perjuangannya, Mazlan merupakan ahli parti pembangkang, dan cubaan itu amat tidak menghormati Perlembagaan Negara apabila cuba melibatkan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah bagi menghalang penyenaraian FGVH di Bursa Saham," katanya.

Mengulas lanjut, Mazlan menyatakan tindakan siapa lebih biadap apabila melakukan sesuatu tanpa berunding terlebih dahulu dengan Majlis Raja-raja.

"Kalau itu biadap, mana lebih biadap memajakkan tanah Felda kepada syarikat FGVH tanpa membuat rundingan dengan Majlis Raja-raja terlebih dahulu atau cuba untuk membuat rundingan dengan Majlis Raja-raja?

"Anak hanya ingin serahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan Majlis Raja-raja supaya batalkan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia," katanya.

Katanya lagi, Anak telah menghantar memorandum kepada pelbagai pihak termasuk Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan Perdana Menteri sendiri dalam tempoh lapan bulan lalu, namun tidak mempunyai sebarang respons daripada pihak kerajaan.

"Langkah untuk hantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong pada 14 Julai ini dibuat setelah kerajaan tidak memberi sebarang maklum balas kepada kami.

"Kami tak mahu kejadian tak diingini berlaku kemudian hari dengan isu penyenaraian FGVH, masa itu siapa yang akan dipersalahkan," katanya.

Dalam pada itu, Mazlan turut mendesak Ismail yang juga seorang anggota Kabinet iaitu Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan supaya memperjelaskan status kedudukan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dalam majlis koperasi Felda.

"Saya desak Datuk Seri Ismail, beritahu kami bagaimana Tan Sri Isa boleh menjadi ahli koperasi sedangkan beliau bukan terdiri daripada ahli Felda," katanya lagi.

2 comments

kulo said...

serah pada Agong!!!
jadi ge menda ! berapa banyak memorendum yang sudah diserahkan..mana satu yang di ambil tindakan olih agung!ambil pun orang lain..agung peduli ke ? nasib rakyat !! aduhai agong ..apa kerja agong ? bilang pitis kot?

sizzly7761 said...

Sangat wajar dan kena pada tempatnya bila ANAK merujuk perkara penyenaraian FGVH utk perhatian dan campurtangan DYMM YDPA.Ini kerana sebahagian besar tanah yang dipajak kepada FGVH adalah 'Malay reserved land'. Minta menteri semak enakmen rezab melayu dan Kanun Tanah Negara 1965. Sebelum meroyan dan memberi pendapat macam bodoh!Urusan tanah dibawah rezab melayu adalah dibawah kuasa raja melayu dinegeri dimana tanah itu terletak.Sultan dan raja adalah ketua agama dan adat istiadat serta halehwal Melayu.Sebarang tanah yang hendak dilucut atau digugur status rezab melayu mestilah dengan perkenan sultan atau raja dinegeri.Eksekutif negeri hanya melaksanakan apa yang telah diperkenan.Jadi memang kenalah YDPA disembahmaklumkan tentang pencabulan mereka2 yang rakus terhadap tanah rezab melayu. Kalau takdirnya lingkup FGVH dan merudumnya saham Felda... Mana mungkin syarikat asing yang bukan 100% melayu memiliki tanah rezab melayu. Wahai bani melayu Felda yang gelapmata bangun dan sedarlah. Enakmen rezab melayu ni diujudkan oleh Inggeris kerana inggeris tahu tabiat melayu ni suka jual tanah utk untung dan kaya cepat.kalau tak buat enakmen rezab melayu, rasanya kita semua dah kena duduk dalam hutan atau merempat.Ini sebab Cina dan pedagang cina dulu memang bayar wang kepada pembesar melayu dan sebagai ganti tanah diserahkan pada Cina.Semak dan rajin2lah membaca enakmen rezab Melayu. Jangan dok dengar menteri yang malas membaca tapi gebang dan sembang aje lebat.satu lagi jangan percaya bulat2 kalau pemimpin Umnongok ni cakap sebab mereka inilah kroni yang akan dapat tawaran saham lebih dari peneroka yang kononya ditawarkan 800 unit saja(tak sampai 1lot pun).Ingatlah takdirnya tanah felda tergadai pada bangsa dan syarikat asing, maka jadi kulilah peneroka sampai ke liang lahad! Fikir fikirkan lah....

Powered by Blogger.