Geran Selangorku Diurus Dengan Telus: Faekah

Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah berselindung tentang punca dana Geran Selangorku berjumlah RM300 juta yang diperuntukkan untuk dimanfaatkan terus kepada rakyat melalui rancangan pembangunan dan sahsiah diri.

Sejak dari awal pengumuman Geran Selangorku yakni ketika membentangkan Belanjawan 2012 tahun lepas, Menteri Besar telah menyatakan dengan jelas bahawa geran ini berasaskan sumbangan GLC negeri serta keuntungan operasi MBI yang berjaya mendapatkan hutang-hutang lapuk daripada syarikat Talam Corporation serta penstrukturan semula Canal City.

Jika dahulu keuntungan hanya dimanfaatkan oleh rakan kongsi usaha sama yang berat sebelah serta para kroni Barisan Nasional, kali ini habuan kita agihkan terus kepada semua rakyat Selangor.

Menteri Besar telah pun menerangkan secara terperinci mengenai perkara ini di dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pada November 2011. Malah, Perbadanan Menteri Besar (MBI) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) juga telah mengadakan pameran di lobi DNS kerana masih ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang kurang faham proses pengambilalihan hutang TALAM dan penstrukturan Canal City.

Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed mungkin gagal mendapat maklumat mengenai Geran Selangorku kerana sebahagian besar ADUN BN tidak hadir ketika penjelasan yang dibuat oleh Menteri Besar berasa malu untuk menjenguk ke pameran yang diadakan.

Perlu dinyatakan sekali lagi di sini bahawa Geran Selangorku diterajui oleh Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor. Jawatankuasa ini dianggotai Ketua Pentadbir Perbadanan Menteri Besar (MBI), Jurutera dan Jurunilai dari Jabatan Kerja Raya, Pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri, akauntan dan jurutera bebas yang di lantik oleh Menteri Besar.

Kesemua projek yang dikemukakan kepada Jawatankuasa ini kemudiannya diunjurkan oleh ADUN, Pejabat Tanah dan Daerah (PTD), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Dakwaan Mohd Zin bahawa Menteri Besar mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan peruntukan adalah tidak benar. Menteri Besar tidak campur tangan dalam menentukan pemberian peruntukan dan projek kerana tender terbuka diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan serta pejabat tanah dan daerah.

Dasar Kerajaan Negeri berbeza dengan Kerajaan Pusat yang mencipta hutang semata-mata untuk meraih sokongan rakyat. Walaupun kita telah mengagihkan lebih RM700 juta kepada rakyat menerusi program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), simpanan rezab kita meningkat kepada RM1.9 billion.

Menerusi Geran Selangorku, kita telah meluluskan sebanyak 362 projek yang berupa pembangunan kecil dan sederhana seperti membaiki longkang, menurap jalan dan membina jejantas seluruh Selangor termasuk di kawasan DUN BN. Kita mempunyai maklumat terperinci mengenai projek-projek ini dan telah pun memberi laporan perkembangan kepada media.

Semua data, butiran projek serta tatacara Geran Selangorku ini dilaksanakan terbuka untuk semakan di Pejabat MBI. Md Zin atau mana-mana ahli UMNO yang masih gagal memahaminya boleh melakukan lawatan ke MBI dan penerangan khusus boleh disediakan.

Pada masa yang sama, kalau benar ketelusan yang mahu diutamakan saya mencabar Ahli Parlimen dan ADUN BN untuk mendedahkan butiran perbelanjaan peruntukan sejumlah RM2.71 billion yang peruntukkan oleh Kerajaan Pusat kepada UMNO Selangor yang mana peruntukan tersebut tidak melibatkan Kerajaan Negeri. Rakyat Selangor mahu tahu bagaimana wang sebesar itu dibelanjakan, apa projeknya, dimana dan berapa kos sebenar.

FAEKAH HUSIN

SETIAUSAHA POLITIK KEPADA DATO' MENTERI BESAR

No comments

Powered by Blogger.