PKR dedah dokumen kontrak RM1 bilion LRT


Abdul Rahim Sabri | 1:26PM Jun 27 2012

PKR hari ini mendedahkan salinan dokumen rasmi kerajaan berhubung penganugerahan kontrak mengenai projek kerja-kerja sambungan LRT Ampang yang bernilai lebih RM1 bilion.

Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli mendakwa, pada mulanya Kementerian Kewangan menganugerahkan kontrak tersebut kepada Konsortium Balfour Beatty-Invensys, berdasarkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan (JPMK).

Sedangkan, dakwa Rafizi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak minggu lepas melahirkan hasrat untuk menganugerahkan kontrak tersebut kepada Konsortium George Kent seperti yang dilaporkan media.

"Ini bertentangan dengan keputusan Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan (JPMK) yang bersidang pada 25 Januari 2012. JPMK adalah jawatankuasa tertinggi Kementerian Kewangan dan dipengerusikan sendiri oleh Datuk Seri Najib sebagai menteri kewangan.

"Keputusan mesyuarat JPMK dengan rujukan T/1/M/1/2012 dengan secara jelas menolak cadangan Prasarana Negara untuk melantik PDA Consortium sebagai kontraktor projek ini.

"Sebaliknya JPMK mengarahkan supaya pakej kontrak itu dianugerahkan kepada Korsortium Balfour Beatty-Invesys pada harga RM1,012,910,000," kata Rafizi.

Rafizi berkata keputusan tersebut ditandatangani oleh Najib, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Ketua Setiausaha Perbandaharaan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Rafizi juga turut mengedarkan minit mesyuarat tersebut kepada media.

Sehubungan itu, Rafizi mempersoalkan Najib, faktor apa yang menyebabkan menteri kewangan itu mengubah fikiran sehingga didakwanya campurtangan untuk "menolak keputusan" awal penganugerahan projek berkenaan yang beliau sendiri bersetuju.

"Kenapa Konsortium George Kent begitu yakin akan memenangi kontrak ini seperti yang dilaporkan oleh media kebelakangan ini, walaupun keputusan anugerah kontrak telah dibuat seawal 25 Januari 2012?" soal Rafizi.

No comments

Powered by Blogger.