Kenyataan Media Presiden Parti Islam SeMalaysia


PENGGUNAAN NAMA ALLAH TIDAK WAJAR DISALAHGUNA

1- Parti Islam SeMalaysia (PAS) adalah mempunyai pendirian yang konsisten dalam isu ini, seperti dalam kenyataan media saya pada 4 Januari 2010, dan saya juga telah mengemukakan kertas kajian dalam seminar anjuran Institut Kefahaman Islam (IKIM) pada tahun 2010 yang telah diterbitkan sebagai buku kecil yang bertajuk: “Allah: Kalimah yang Benar,Tujuan Yang Salah” pada bulan Januari 2010 yang lalu.

2- Kalimah “Allah” adalah satu perkataan yang mengikut maksud asal bahasa al-Quran (Dia Sahaja Tuhan Yang Maha Esa), adalah tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat.

3- Kalimah “Allah” tidak wajar disalah gunakan oleh pihak lain terhadap masyarakat Islam sehingga menimbulkan kekeliruan. Oleh itu penganut Islam berbagai bangsa tetap menyebut perkataan Allah (tanpa terjemahan) apabila menterjemah al-Quran dalam bahasa masing-masing dan ketika beribadat.

4- Walau bagaimanapun Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah “Allah” dalam amalan mereka, walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran.

5- Al-Quran menyebut penggunaan kalimah Allah oleh kalangan bukan Islam dengan penjelasannya:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara Kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain (Para paderi, sami, dan pemimpin) untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah”. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam”.” [Ali-Imran: 64]

6- PAS merasa sangat kesal terhadap UMNO yang mewakili pihak Melayu Islam dan Barisan Nasional (BN) yang memerintah Negara kerana menjadikan kalimah Allah sebagai satu isu yang dipolemikkan sebebasnya oleh pihak media arus perdana dalam kempen politik pilihan raya, tanpa peduli terhadap salah faham dan ketegangan penduduk berbagai agama dalam masyarakat majmuk.

Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia

8 Januari 2013

No comments

Powered by Blogger.