Presiden PBNJ mahu Annuar henti drama libatkan Mat Yo


Mohd Firdaus Yon

JOHOR BAHRU - Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa menghentikan drama dan politik melibatkan Norshahrul Idlan Talaha yang turut dikenali sebagai Mat Yo.

Justeru, baginda mahu Annuar lebih bersikap matang dan profesional dalam mengendalikn pasukan bola sepak.

Semalam, Annuar antara lain berkata, bekas penyerang Kelantan itu belum membayar harga tebus kontrak seperti yang diminta oleh Kafa walaupun telah menandatangani kontrak baharu bersama pasukan Johor Darul Takzim.

Annuar berkata, mengikut peraturan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Mat Yo sepatutnya membayar harga tebus kontrak tersebut dalam tempoh 30 hari selepas didaftarkan dengan pasukan baharu.

"Kita tak bantah keputusan beliau untuk menamatkan kontrak secara sebelah pihak, tapi sampai hari ini Mat Yo belum membayar harga tebus kontrak tersebut sehingga Kafa terpaksa membuat tuntutan kepada Jawatankuasa Status FAM.

"Dalam kes ini kita telah mengemukakan afidavit kepada jawatankuasa berkenaan dan berharap agar mereka dapat menyelesaikan perkara ini secepat mungkin," katanya.

Annuar, yang tidak mendedahkan nilai harga tebus kontrak itu, berkata penyerang yang pernah mencipta nama sebagai salah seorang tonggak utama pasukan kebangsaan itu juga masih mempunyai baki kontrak bernilai RM400,000 bersama Kafa.

Polemik perpindahan Mat Yo menjadi isu hangat diperkatakan dalam kancah sukan bola sepak negara selepas menamatkan kontrak secara sebelah pihak walaupun masih berbaki 13 bulan bersama Kafa selepas dilamar pasukan dari selatan, Johor Darul Takzim pada musim lepas.

No comments

Powered by Blogger.