Giliran Ustaz Fadhli KP Kelantan Pula Difitnah

Ahmad Fadhli Bin Shaari

Saya diberikan keratan laporan ini di dalam laman portal Malaysia Insider yang memetik kenyataan saya yang menyebut bahawa Tuan Guru Nik Abdul Aziz hadir selama dua jam di dalam mesyuarat Syura Ulama. Saya suka memberikan penjelasan seperti berikut :

1. Saya dihubungi secara tidak formal oleh seorang wartawan yang telah lama saya kenal iaitu Zakiah Koya. Saya tidak diberitahu bahawa kenyataan saya akan dipetik sebagai sebuah kenyataan kerana saya hanya menyangka ia sekadar 'bual-bual' biasa.

2. Saya disebut sebagai 'Pegawai Nik Aziz'. Ini adalah satu fakta yang salah di mana saya sudah tidak menjadi pegawai beliau semenjak beliau bersara sebagai Menteri Besar Kelantan selepas PRU yang lalu. Sekalipun saya banyak dipanggil oleh beliau untuk menulis kenyataan dan sebagainya, namun itu tidak lebih daripada melaksanakan arahan Al-Mursyidul Am ke atas ahli parti seperti saya. Saya tidak mempunyai sebarang autoriti rasmi untuk bercakap bagi pihak beliau apatah lagi untuk menyatakan fakta tentang Mesyuarat Syura Ulama yang saya langsung tiada kaitan dengannya.

3. Justeru apabila saya ditanya tentang 'bolehkah tokguru hadir mesyuarat dan duduk lama memandangkan beliau uzur (dengan keadaannya yang sudah dimaklumi semua?)'. Saya katakan, beliau mampu Insya allah bahkan untuk berkuliah selama dua jam pun masih mampu.

4. Saya juga diberitahu bahawa ada laporan menyatakan bahawa beliau berada selama setengah jam di dalam mesyuarat tersebut. Respon saya ialah, ia kedengaran agak mustahil memandangkan kenyataan yang dikeluarkan kelihatan cukup teratur. Ia kemudiannya dijelaskan sendiri oleh Tuan Guru bahawa beliau telah ditunjukkan dengan kenyataan tersebut oleh Setiausaha Majlis Syura sebelum diterbitkan.

5. Saya kira apa yang dilaporkan Malaysian Insider itu adalah satu silap faham sahaja terhadap perbualan yang saya anggap biasa. Sewajarnya pihak penerbit lebih maklum autoriti saya yang bukan merupakan pegawai rasmi Al-Mursyidul Am untuk bercakap bagi pihak beliau. Apatah lagi saya bukan ahli mesyuarat tersebut. Saya tidaklah ingin menyalahkan pihak penerbit berkenaan kerana saya kira ia sebagai salah faham sahaja dan mungkin terdorong dengan keghairahan mengeluarkan maklumat sensasi, laporan ini keluar dan menjadi sebahagian daripada kontoversi.

6. Lebih dari itu, saya berpandangan tidak timbul soal Al-Mursyidul Am hadir mesyuarat samada setengah jam mahupun dua jam memandangkan beliau telah menyerahkan mandat kepada mesyuarat untuk membuat keputusan dan sekali lagi disemak sebelum diterbitkan. Apa yang saya faham dari kenyataan beliau kemudiannya ialah beliau hanya ingin menegaskan pendiriannya hanya sekali sahaja iaitu pendirian beliau yang dikeluarkan pada 29 Ramadhan yang lepas.

7. Harapan saya dengan penjelasan ini dapat memberikan kefahaman kepada mana-mana pihak yang menggunakan laporan ini bagi menampakkan pertembungan dengan kenyataan Tuan Guru.

No comments

Powered by Blogger.