KENYATAAN MEDIA PARTI KEADILAN RAKYAT & PARTI TINDAKAN DEMOKRATIK

TAN SRI KHALID IBRAHIM PERLU BUKTIKAN SOKONGAN MAJORITI DEWAN

KEADILAN dan DAP mengambil maklum kenyataan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim selepas mengadap DYMM Tuanku Sultan Selangor pagi ini bahawa beliau akan kekal menjadi Menteri Besar kerana mempunyai sokongan majoriti dari kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor.

KEADILAN dan DAP telah menyatakan secara terbuka bahawa YAB Tan Sri Khalid Ibrahim tidak lagi mendapat sokongan kedua-dua parti ini sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor. Ini bermakna YAB Tan Sri Khalid Ibrahim sudah hilang kepercayaan 28 ADUN iaitu separuh dari jumlah ADUN di Selangor.

PAS pula belum membuat keputusan mengenai sokongan mereka kepada YAB Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar dan Jawatankuasa PAS Pusat hanya akan bermesyuarat pada 17 Ogos 2014 ini.

Oleh yang demikian, kenyataan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim kepada pihak Istana bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti Dewan Undangan Negeri itu adalah meragukan.

Dengan penolakan terbuka KEADILAN dan DAP, itu juga bermakna YAB Tan Sri Khalid Ibrahim hanya boleh mempunyai sokongan majoriti dengan mendapat sokongan dari 12 ADUN UMNO.

Oleh yang demikian, KEADILAN dan DAP mendesak supaya:

YAB Tan Sri Khalid Ibrahim membuktikan kepada rakyat jelata sokongan majoriti yang diperolehi oleh beliau itu seperti mana yang beliau dakwa. Ini termasuklah memanggil sidang Dewan Undangan Negeri untuk melakukan undi kepercayaan atau cara-cara lain yang boleh membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan dari ADUN PAS dan UMNO;

UMNO menyatakan secara terbuka bahawa 12 ADUN UMNO menyokong YAB Tan Sri Khalid Ibrahim seperti mana yang didakwa oleh beliau. Jika 12 ADUN UMNO tidak menyokong YAB Tan Sri Khalid Ibrahim, maka jelaslah beliau telah mempersembahkan maklumat palsu kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor.

KEADILAN dan DAP akan terus menggunakan segala kaedah mengikut Undang-undang Tubuh Negeri dan enakmen yang berkenaan untuk mengembalikan tampuk pemerintahan Kerajaan Selangor kepada Pakatan Rakyat yang dipilih oleh rakyat dalam pilihanraya umum yang lepas. Langkah seterusnya mengikut Undang-undang Tubuh Negeri akan dimaklumkan selepas pimpinan Pakatan Rakyat terus bermesyuarat mencari muafakat menyelesaikan perkara ini dengan baik.

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Setiausaha Agong KEADILAN

TONY PUA
Pengerusi DAP Selangor

No comments

Powered by Blogger.