Perintah berkurung di Esszone tamat 17 Ogos ini




LAHAD DATU - Tempoh pelanjutan perintah berkurung di perairan enam daerah di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang bermula semalam akan tamat pada 17 Ogos ini, kata Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Abdul Rashid Harun.

Beliau berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah meluluskan arahan pelanjutan perintah berkurung itu yang berkuatkuasa sehingga pukul 6 pagi pada tarikh itu.

Perintah berkurung itu bermula pukul 6 petang hingga 6 pagi, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Rashid turut menegaskan bahawa setakat ini tiada sebarang permit dikeluarkan khusus untuk menangkap ikan di perairan terbabit.

Bagaimanapun, katanya, pihak polis telah mengeluarkan tiga permit laluan di Tawau dan 37 di Sandakan bagi tujuan tertentu yang difikirkan munasabah oleh Ketua Polis Daerah berkenaan.

Beliau juga menyeru agar semua pihak dapat memberi kerjasama sepanjang perintah berkurung itu bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Semalam, Abdul Rashid mengumumkan pelanjutan arahan perintah berkurung di enam daerah di Esszone yang diyakini dapat mengekang jenayah rentas sempadan, termasuk kes penculikan.

Penguatkuasaan perintah berkenaan sama seperti sebelum ini iaitu membabitkan kawasan selepas tiga batu nautika dari pantai sepanjang perairan dari Sandakan melalui daerah Kinabatangan, Lahad Datu, Semporna hingga ke Jeti Tawau sejauh 362 batu nautika meliputi kawasan seluas 121,270 batu nautika persegi.

Pada 19 Julai lepas, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman mengisytiharkan perintah berkurung di pantai timur Sabah, merangkumi enam daerah iaitu Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau dibawah Seksyen 31 (1) Akta Polis 1967.

Perintah berkurung itu kemudiannya telah dilanjutkan oleh Menteri Dalam Negeri dibawah Seksyen 31 (4) Akta Polis 1967 selama 14 hari bermula dari 20 Julai dan berakhir pada jam 6 pagi pada 2 Ogos lepas. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.