NASIB PAKATAN RAKYAT DI SELANGOR MASIH TERTAKLUK KEPADA BUDI BICARA TAN SRI KHALID IBRAHIM DAN SULTAN SELANGOR

Kamarul Yusoff


Apabila Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di dalam mesyuaratnya pada 17 Ogos 2014 bersetuju menarik balik sokongan yang diberikan oleh PAS terhadap Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar dan apabila Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di dalam mesyuaratnya pada 17 Ogos 2014 bersetuju mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal Menteri Besar yang baru maka, secara moralnya, kemelut politik di Selangor boleh dijangkakan akan selesai melalui pengunduran Tan Sri Khalid Ibrahim dari jawatan Menteri Besar. Bagaimanapun, para pemimpin dan para penyokong Pakatan Rakyat tidaklah boleh terlalu bergembira dengan jangkaan selesainya kemelut politik di Selangor ini kerana nasib Pakatan Rakyat di Selangor sebenarnya masih tertakluk kepada budi bicara Tan Sri Khalid Ibrahim dan Sultan Selangor.

Secara undang-undangnya, jika Tan Sri Khalid Ibrahim masih mahu melawan maka, selama mana beliau tidak diminta meletakkan jawatan oleh Sultan Selangor dan jika Sultan Selangor meminta penarikan sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri terhadap Tan Sri Khalid Ibrahim dibuktikan di dalam Dewan Undangan Negeri, beliau boleh sahaja meneruskan kemelut politik ini dengan menghalang Pakatan Rakyat dari mengemukakan usul tidak percaya terhadap beliau sehingga kira-kira empat bulan lagi dengan tidak menasihatkan Sultan Selangor untuk memanggil Dewan Undangan Negeri bersidang di dalam tempoh itu berdasarkan peruntukan Artikel 70(1) Perlembagaan Negeri Selangor yang menyebut “His Highness shall from time to time by Proclamation published in the Gazette summon the Legislative Assembly and shall not allow six months to elapse between the last sitting in one session and the date appointed for its first sitting in the next session”, juga peruntukan Artikel 55(1) Perlembagaan Negeri Selangor yang menyebut “In the exercise of his functions under this Constitution or any law... His Highness shall act in accordance with the advice of the State Executive Council or of a member thereof acting under the general authority of the Council”.

Secara undang-undangnya juga, jika Tan Sri Khalid Ibrahim masih mahu melawan di sebalik kewujudan bukti nyata penarikan sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri terhadap beliau maka beliau boleh sahaja memohon kepada Sultan Selangor supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi membuka jalan kepada satu pilihan raya semula diadakan berdasarkan peruntukan Artikel 53(6) Perlembagaan Negeri Selangor yang menyebut “If the Menteri Besar ceases to command the confidence of the majority of the majority of the members of the Legislative Assembly, then, unless at his request His Highness dissolves the Legislative Assembly, he shall tender the resignation of the State Executive Council”. Melainkan jika Sultan Selangor menggunakan kuasa budi bicara Baginda untuk menolak permohonan Tan Sri Khalid Ibrahim supaya Baginda membubarkan Dewan Undangan Negeri berdasarkan peruntukan Artikel 55(2)(b) Perlembagaan Negeri Selangor yang menyebut “His Highness may act in his discretion in...the withholding of consent to a request for the dissolution of the Legislative Assembly” maka kemungkinan untuk rakyat Selangor berpilihan raya semula masih ada.

No comments

Powered by Blogger.