"Sokongan Padu kepada Dr Zuhdi, Desakan Tindakan Disiplin kepada Pengkhianat dalam PAS"

[1] Isu sebaran printscreen diskusi dalaman AJK PAS Pusat kini menjadi kian parah dan teralih arah. Pengkhianat yang mendedahkan rahsia parti tersenyum puas tatkala Dr Zuhdi pula menjadi mangsa yang di kambing hitamkan. Kami mendesak Jawatankuasa Disiplin PAS menyiasat dan mengambil tindakan yang tegas kepada pengkhianat ini. Kami juga berharap agar Majlis Syura Ulama agar dapat mengambil perhatian berkenaan gejala membocorkan rahsia yang membabitkan dalam kalangan AJK PAS Pusat.

[2] Kami mendesak supaya pimpinan Pakatan berhenti memainkan provokasi yang menghentam PAS berhubung isu printscreen diskusi dalaman AJK PAS Pusat yang melibatkan pandangan analisis Dr. Zuhdi Marzuki, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP). PAS mengucapkan terima kasih kepada keprihatinan Sdr Rafizi Ramli, Pengarah Strategi PKR dan juga rakan-rakan kepimpinan DAP, Sdr. Anthony Loke dan Sdr. Tony Pua berhubung isu berkenaan.

[3] Adalah menjadi kebiasaan mana-mana pimpinan dalam Pakatan dan PAS memberikan pandangan peribadi secara bebas dalam mesyuarat atau perbincangan termasuklah memberikan pandangan bersifat andaian bagi mencari jalan penyelesaian sesuatu masalah. Dr. Zuhdi sebagai COO PPP, hanya menjalankan tugas memberi dan menyampaikan pandangan dan andaian dari setiap sudut melalui dapatan kajian beliau. Kemudian, ia terpulang kepada kebijaksanaan kepimpinan PAS untuk mengambil keputusan secara kolektif dan mengikut kehendak majoriti.

[4] PAS juga tidak pernah campurtangan dalam urusan mesyuarat PKR atau DAP dan adalah lebih bijak jika Rafizi dan pimpinan PKR yang lain menumpukan fokus mereka untuk menyelesaikan kemelut dalaman PKR seperti Mesyuarat Agung Pemilihan peringkat cabang-cabang dalam PKR yang masih belum selesai.

[5] PAS juga menyarankan agar Anthony dan Tony dalam DAP berkerjasama dengan Lim Guan Eng untuk selesaikan masalah yang wujud dalam DAP Sarawak yang baru-baru ini dengan jelas membuat resolusi mahu keluar dari Pakatan.

[6] PAS sentiasa matang dan tenang dalam menghadapi krisis dalaman dan luaran tanpa menjejaskan kedudukan PAS dalam Pakatan. PAS mempunyai struktur yang kuat dan cara tersendiri dalam menangani masalah perbezaan pendapat. Tindakan disiplin akan diambil jika ada pelanggaran disiplin parti yang jelas dilakukan termasuklah terhadap mereka-mereka yang khianat menyebarkan maklumat rahsia parti.

[7] Diharap pimpinan semua parti dalam Pakatan berfikir dan mengambil tindakan yang lebih matang sebelum mengeluarkan kenyataan menyelar dan menghentam mana-mana pihak.
Semoga Allah memberikan kekuatan dan ketabahan kepada pimpinan PAS dalam menghadapi saat ujian yang pedih ini serta mengukuhkan kedudukan PAS dalam Pakatan.

[8] Akhir sekali, kami tetap berdiri teguh mempertahankan Dr Zuhdi yang menjadi mangsa komplot jahat ini. Semoga Allah memberikan kekuatan dan ketabahan kepada Dr Zuhdi dalam menghadapi saat ujian yang pedih ini.

Kepada Pengkhianat pula, hari ini mungkin anda merasa puas tetapi yakinlah akan tiba masanya nanti tembelang jahat itu akan pecah dan mendapat balasan yang sewajarnya oleh Allah.

Yang Benar,
Ir. Hj. Khairil Nizam Khirudin,
Naib Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments

Powered by Blogger.