Rayuan kepada ahli politik Muslim berkenaan Krisis MB Selangor


Krisis kepimpinan yang berlaku kepada Kerajaan negeri Selangor di dalam isu kedudukan Menteri Besar telah membawa banyak keburukan kepada seluruh umat Islam di tanahair umumnya dan rakyat di dalam negeri ini khususnya.

Oleh yang demikian, kami merayu kepada semua ahli-ahli politik Muslim untuk berhenti bergaduh dan berselisih di antara satu sama lain demi kerana mahu merebut kekuasaan dan kedudukan sebagai Menteri Besar Selangor.

Ingatlah pesan hadith Nabi salallahualaihiwassalam ;

إِنَّكُمْ سَتَحْرِصُونَ عَلَى الإِمَارَةِ ، وَسَتَكُونُ نَدَامَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ ، فَنِعْمَ الْمُرْضِعَةُ وَبِئْسَتِ الْفَاطِمَةُ

'Sesungguhnya kalian akan sangat berharap terhadap kepemimpinan, sedangkan pada pengakhirannya ia hanyalah menjadi penyesalan pada hari kiamat. Di dunia ia memberikan kesenangan, namun setelah mati ia membawa penderitaan.' [Riwayat al-Bukhari no. 7148]

Sebagai rakyat, kami mengharapkan ahli-ahli politik di tanahair ini bersedia untuk mengorbankan kepentingan parti dan agenda politik masing-masing demi kebajikan rakyat dan menjaga hak serta maslahat orang ramai yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama daripada menjadi mangsa keadaan.

Sebahagian ulama salaf menyebut ;

اذا صلح الراعى صلحت الرعية واذا فسد فسدت الرعية

'Sekiranya pemimpin itu baik maka rakyat pun akan menjadi baik dan sekiranya pemimpinnya rosak maka rakyat pun akan menjadi rosak.'

Perlantikan Menteri Besar yang baru atau pengguguran jawatan Menteri Besar yang lama hendaklah dilakukan dengan cara yang bukan sahaja mengikut undang-undang tetapi mestilah juga mematuhi kaedah syarak Islam dan menepati maslahat kepentingan orang ramai tanpa mengira parti dan bangsa.

Ini kerana Islam melarang kita daripada melakukan kemudharatan sekalipun niat kita mungkin baik untuk mendapatkan kebaikan tertentu.

Kaedah fiqh menyebut ;

درء المفاسد مقدم على جلب المنافع
'Menolak keburukan diutamakan daripada mendatangkan kebaikan.'

Dakwaan yang mengatakan Menteri Besar sekarang tidak bagus, perlu ditukar dan sebagainya demi kebaikan rakyat (yang belum pasti akan terjadi jika ditukar) hendaklah diteliti kembali agar ianya tidak sampai menyebabkan mudharat dan menyusahkan rakyat akibat penukaran tersebut yang membawa kepada hukum haram dan berdosa.

Jika berlaku sekalipun kepentingan untuk menukar Menteri Besar atau keperluan untuk mengekalkannya maka hendaklah dipastikan mudharat yang lebih kecil dipilih berbanding mudharat yang lebih besar berdasarkan kaedah fiqh;

الأخذ بأخف الضررين
'Memilih mudarat yang paling ringan daripada dua mudarat.'

Kami sebagai rakyat awam, mengharapkan ahli-ahli politik agar memikul amanah rakyat dengan penuh dedikasi, jujur dan adil serta tidak mengabaikan hak rakyat jelata demi kepentingan dan agenda parti politik masing-masing.

Allah SWT berfirman ;

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu untuk menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila kalian menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil." [An-Nisa : 58]

Dan takutlah kepada ancaman Rasulullah salallahualaihiwassalam yang pernah berdoa :

اللَّهُمَّ مَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَشَقَّ عَلَيْهِمْ فَاشْقُقْ عَلَيْهِ وَمَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَرَفَقَ بِهِمْ فَارْفُقْ بِهِ

'Ya Allah, bagi siapa yang menjadi penguasa umatku, lalu dia menyulitkan mereka, maka timpakanlah kesulitan kepadanya. Dan barang siapa yang menjadi penguasa umatku, lalu dia menyayangi mereka, maka sayangilah dia.' [Riwayat Muslim]

Semoga Allah memberikan kita semua hidayah!

http://ustaz.blogspot.com/2014/08/rayuan-kepada-ahli-politik-muslim.htmlhttp://ustaz.blogspot.com/2014/08/rayuan-kepada-ahli-politik-muslim.html

No comments

Powered by Blogger.