Pandangan Peribadi : Demi keamanan dan kesejahteraan kelantan darul naim…

17 Zulhijjah 1430
4 Disember 2009

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Saya ingin menyatakan kekecewaan dan kesedihan saya di atas beberapa peristiwa negatif dan pergolakan yang telah berlaku di negeri Kelantan sejak kebelakangan ini.

Ia menunjukkan seperti betapa lemahnya dan betapa mudahnya rakyat negeri ini yang juga terdiri dari 95% kaum melayu dan islam dipecah belahkan dan tidak lagi bersekutu.

Adalah besar harapan saya supaya pihak berkenaan menyelesaikan masalah-masalah ini dengan cara yang paling halus, tenang, diplomatik, aman dan tidak beremosi kerana yang paling rugi di atas peristiwa tersebut adalah rakyat negeri ini juga.

Pada hemat saya, adalah tidak elok dan tidak manis dipandang untuk apa-apa kejadian ini berlaku sekarang terutama sekali kerana memandangkan negeri kelantan masih ditimpa musibah bencana alam dan memandangkan KDYMM Al-Sultan Kelantan masih gering dan dirawat di luar negeri.

Alhamdulillah, berkat doa rakyat jelata sekalian, baginda Sultan semakin sembuh dan akan pulang ke Kelantan Darul Naim dalam masa yang terdekat.

Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah swt agar kesihatan KDYMM Al-Sultan Kelantan cepat sembuh seperti sedia kala dan boleh berangkat pulang ke negeri yang tercinta ini secepat mungkin..insyallah

Marilah juga kita sama-sama berdoa kepada Allah swt agar sentiasa memberi rahmat dan melindungi rakyat negeri Kelantan Darul Naim dari apa –apa musibah bencana.
Sekian, Wassalam.

Tengku Temenggong Kelantan.
Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Sultan Ismail Petra.


http://yttkelantan.com/blog/?p=3

No comments

Powered by Blogger.