Pemuda Umno Selangor nafi dalang gesa Pas keluar pakatan

SHAH ALAM: Pemuda Umno Selangor menafikan mendalangi tindakan kira-kira 20 individu yang mendakwa pengundi Pas menghantar memorandum mendesak parti itu keluar daripada Pakatan Rakyat (PR).

Ketuanya, Suhaimi Mohd Ghazali, sebaliknya percaya ia adalah percubaan untuk memburukkan imej Umno, sekali gus menimbulkan curiga dan kemarahan penyokong kuat Pas terhadap Umno.

Katanya, Pemuda Umno tahu wujud perpecahan dalam Pas di Selangor kerana ada kumpulan mahu parti itu keluar daripada PR dan ada kumpulan lain mahu ia kekal dalam PR.

"Ini gerakan orang Pas, sama ada atas inisiatif sendiri atau digerakkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menuntut Pas keluar dari PR.

"Kita lihat ini hanya helah politik mereka kerana apabila mereka nak Pas keluar, kalau berjaya, mereka akan mendakwa ini adalah gerakan mereka dan kalau gagal, mereka akan salahkan Umno," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, berkata Pas Selangor tidak terbabit dalam penganjuran demonstrasi dan penghantaran memorandum bantahan itu.

Katanya, perhimpunan itu tidak disokong Pas Selangor dan kepemimpinan parti tidak tahu menahu mengenai kumpulan itu, serta menafikan parti itu kini mengalami masalah dalaman.

"Kami akan melakukan semakan sama ada mereka benar-benar ahli Pas. Jika mereka ahli Pas, tindakan disiplin akan diambil terhadap mereka kerana melanggar prinsip parti dan saya akan mencadangkan mereka disingkirkan daripada parti," katanya.

No comments

Powered by Blogger.