Sulaiman lepas jawatan Timbalan Menteri Pelancongan

Oleh Anwar Husin; Magendran Rajagopal dan Matzidi Dris

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengesahkan Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib (kanan) sudah memaklumkan kepada beliau mengenai hasratnya untuk melepaskan jawatan Timbalan Menteri Pelancongan.

Perdana Menteri, pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di sini, malam tadi, berkata setakat ini beliau belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu.

"Beliau (Sulaiman) sudah memberitahu saya mengenai keputusannya tetapi saya mahu berbincang dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak (Tan Sri Abdul Taib Mahmud) mengenai perkara ini.

"Tidak penting kenapa (beliau mengambil keputusan itu), ia atas sebab peribadi," katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai bila Sulaiman memaklumkan keputusannya itu.

Portal Malaysian Insider semalam melaporkan Sulaiman, yang juga anak kepada Ketua Menteri Sarawak, meletak jawatan atas alasan kesihatan walaupun sumber membayangkan ia ada kaitan dengan rasa tidak puas hati terhadap layanan yang diberikan kepadanya dan Sarawak.

Sulaiman dikatakan sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri bulan lalu.

Portal itu memetik sumber sebagai berkata, Sulaiman meletakkan jawatan beberapa minggu lalu atas sebab-sebab kesihatan tetapi kekal sebagai Ahli Parlimen.

Bagaimanapun, Sulaiman dikatakan tidak menjawab sebarang pertanyaan dan hanya sekali menghadiri sidang Parlimen dalam sesi yang sedang berlangsung sekarang.

Difahamkan, beliau tidak berpuas hati dengan bekas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Pelancongan sekarang, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen yang tidak memberi ruang kepada beliau untuk berkhidmat dengan sebaik-baiknya selaku Timbalan Menteri.

Malaysian Insider juga melaporkan, peletakan jawatan itu turut mempunyai kaitan dengan rasa kurang senang dengan pelantikan Datuk Seri Idris Jala, seorang lagi anak Sarawak, ke Kabinet, yang dilihat sebagai melangkau ahli-ahli Parlimen Sarawak dan Sabah.

Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, ketika dihubungi, berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang surat makluman berhubung dengan peletakan jawatan Sulaiman.

"Sekiranya ada menteri atau timbalan menteri dalam Kabinet yang hendak meletak jawatan, surat peletakan jawatan hendaklah dikemukakan kepada Perdana Menteri dan sekiranya beliau menerima peletakan jawatan itu, perkara berkenaan akan dimaklumkan kepada Parlimen.

"Selepas menerima surat rasmi, kami akan menyusun semula tempat duduk menteri dan timbalan menteri yang ada," katanya.

Junaidi berkata, ketika beliau mempengerusikan Persidangan Parlimen minggu lalu, beliau ada melihat Sulaiman menghadiri persidangan itu dan duduk di tempatnya.


sakit apa tu?hehehe

No comments

Powered by Blogger.