Jangan Sekat Pinjaman Pendidikan Oleh PTPTN

SAYA merujuk kepada kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) memerlukan RM5 bilion setahun bagi memastikan mereka yang layak melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tidak tercicir.

Beliau berpendapat bahawa peruntukan semasa sebanyak RM3 bilion oleh kerajaan persekutuan adalah tidak mencukupi menjelang tahun 2013 memandangkan pertambahan jumlah mereka yang akan melanjutkan pengajian ke IPT.

Beliau turut berkata ibu bapa yang berkemampuan sepatutnya perlu mengambil tanggungjawab untuk membiayai pendidikan anak-anak mereka dan tidak meletakkan sepenuhnya dibahu kerajaan sahaja.

Oleh itu, kementeriannya sedang membuat kajian bagaimana hendak menentukan kelestarian PTPTN dan menentukan cara-cara bagi memastikan dana itu hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Berhubung seranan Menteri Pengajian Tinggi supaya ibu bapa yang berkemampuan mengambil tanggungjawab untuk membiayai pendidikan anak-anak mereka, ia harus diambil kira bahawa pinjaman PTPTN adalah tertakluk kepada pembayaran balik oleh pelajar-pelajar selepas tamat pengajian mereka (kecuali mereka yang mendapat ijazah kelas pertama).

Pinjaman PTPTN adalah tidak seperti biasiswa yang tidak tertakluk kepada pembayaran balik dan diberikan berdasarkan merit dan kemampuan ibu bapa.

Ia adalah tidak wajar bagi PTPTN memberi pinjaman hanya berdasarkan kemampuan ibu bapa.

Ini disebabkan kemungkinan terdapat ibu bapa yang berkemampuan yang enggan membiayai pendidikan anak-anak mereka disebabkan mereka tidak memandang berat kepentingan pendidikan anak-anak mereka.

Selain itu, terdapat juga situasi di mana ibu bapa yang dianggap berkemampuan mempunyai ramai anak dan ia adalah di luar kemampuan mereka untuk membiayai pendidikan kesemua anak mereka.

Adalah malang sekiranya pelajar-pelajar yang bermerit tidak diberi peluang untuk melanjutkan pengajian ke IPT disebabkan definasi kemampuan ibu bapa mereka yang tidak tepat.

Sebaliknya, saya ingin menyeru agar kerajaan menambahkan peruntukan kepada PTPTN apabila dana bagi agihan pinjaman PTPTN adalah tidak mencukupi.

Bajet kerajaan harus memberi lebih perhatian untuk menambah peruntukan kepada PTPTN untuk memastikan semua rakyat Malaysia diberi peluang untuk melanjutkan pendidikan ke IPT. Pengajian tinggi adalah teras kepada pembangunan modal insan negara kita.

Berdasarkan bajet tahun 2010, penambahan peruntukan kepada PTPTN sebanyak RM2 bilion hanya berjumlah 1% daripada jumlah keseluruhan bajet tahunan negara sebanyak RM200 bilion.

Ini adalah suatu kos kecil untuk memastikan semua rakyat Malaysia diberi peluang untuk mengambil pinjaman PTPTN bagi melanjutkan pengajian tinggi mereka.

TAN KENG LIANG Ketua Pemuda Gerakan Kedah

*terima kasih atas kunjungan.bantu lah saya dengan hanya klik di sini. setiap klik membantu blog ini berkembang.

No comments

Powered by Blogger.