Kerajaan patut lindungi kepentingan pemilik NCR

Oleh Dr Jeniri Amir

Isu tanah adat wajar diselesai segera elak dieksploitasi pembangkang

PENGERUSI Parti Keadilan Sarawak, Baru Bian ialah peguam dan pejuang Tanah Adat Bumiputera (NCR). Di pejabatnya di Kuching, sekurang-kurangnya ada 100 fail kes saman NCR kaum pribumi, termasuk Iban dan Penan terhadap kerajaan negeri. Segelintir kes yang dibawa ke mahkamah memihak kepada rakyat.

Isu NCR akan dijadikan peluru oleh pembangkang menjelang pilihan raya negeri yang dijangka seawal Jun dan selewat-lewatnya April tahun depan. Ini menjadi 'duri dalam daging' bagi kerajaan negeri. Jika tidak dikawal dan diselesaikan, isu ini akan menjadi api marak pada masa depan.

Apa pun alasan kerajaan, rakyat menganggap bahawa tanah mereka dirampas daripada mereka. Persepsi sedemikian tidak baik untuk kerajaan. Bagi pemilik NCR, tanah itu telah diterokai dengan titik peluh nenek moyang mereka.

NCR menjadi kontroversi pada awal 90-an apabila kerajaan melancarkan program usaha sama dengan syarikat swasta untuk membuka ladang sawit. Dalam proses terbabit, banyak NCR diambil, tanpa pampasan yang sewajarnya.

Hal ini mencetuskan konflik antara kaum pribumi tempatan dengan syarikat swasta dan kerajaan. Keadaan ini diburukkan lagi, apabila kerajaan dianggap mendukung dan memihak kepada syarikat, apatah lagi apabila instrumen kerajaan dalam sesetengah kes digunakan untuk merobohkan rumah panjang golongan miskin ini yang telah mendakwa tinggal di tanah berkenaan sejak sebelum 1958.

Dalam keghairahan membuka ladang sawit, kerajaan tidak harus mengabaikan hak dan kepentingan rakyat. Rakyat sebenarnya mengharapkan kerajaan mempunyai ihsan terhadap nasib mereka. Terlalu sukarkah untuk kerajaan mengukur dan memberi tanah kepada rakyat memandangkan saiz Sarawak adalah luas. Sebenarnya, tanah di negeri ini cukup untuk semua rakyat jika kita bersikap lebih adil dan tidak hanya mengutamakan kepentingan golongan tertentu.

Pemimpin kerajaan sering menjelaskan bahawa kerajaan tidak merampas tanah rakyat, sebaliknya banyak memberi tanah dan pampasan munasabah mengikut nilai pasaran semasa kepada pemilik tanah terbabit. Bagi pembangkang, terutama Baru Bian, ratusan kes yang berkaitan dengan NCR membuktikan tanah NCR sudah diambil kerajaan.

Betulkah bahawa tanah berkenaan diberi kepada syarikat ada kaitan dengan pemimpin negeri, ahli politik dan kroninya sebagai mana yang didakwa rakyat? Ada daripada mereka ini yang menjual tanah terbabit dengan harga berjuta-juta ringgit kepada syarikat kaya sesudah memperolehnya daripada kerajaan.

Bagi individu tertentu, ini ialah antara jalan pintas untuk menjadi jutawan. Tidak mengapa jika rakyat merintih dalam penderitaan apabila hak mereka diambil dengan cara yang tidak wajar.

Bagi rakyat, NCR mereka perlu dikembalikan kepada pemilik yang hak dengan membatalkan lesen pembalakan, geran hak milik sementara dan permit menanam semula atau lesen yang merangkumi atau menceroboh ke dalam kawasan NCR.

Pejuang NCR juga mencadangkan supaya ditubuhkan Pesuruhjaya Penyiasatan Tanah untuk menyiasat kes pelanggaran tuntutan hak tanah NCR.

Tanah adat ialah tunjang sistem ekonomi kaum pribumi di Sarawak sejak dulu dan tanpa tanah adat komuniti agrarian ini tidak akan wujud sekarang. Hubungan rapat antara tanah, amalan pertanian dan penggunaan sumber asli menggambarkan betapa pentingnya tanah adat dalam ekonomi masyarakat pribumi.

Tiap-tiap rumah panjang peneroka pada zaman lampau mempunyai 'pemakai menoa' yang diwariskan kepada generasi kini. Konsep ini dibentuk oleh komuniti peneroka dengan adat istiadat tertentu apabila peneroka mendirikan penempatan rumah panjang.

Bagi kerajaan, langkah membabitkan masyarakat Dayak dalam usaha sama membuka ladang sawit secara komersial bertujuan untuk membasmikan kemiskinan dan membuka peluang pekerjaan untuk penduduk rumah panjang.

Sasaran kerajaan adalah untuk membangunkan sejuta hektar ladang sawit menjelang 2010 yang terdiri daripada 60 peratus tanah adat dan 40 peratus tanah kerajaan. Setakat ini, hanya sekitar 60 peratus atau 603,984 hektar daripada sasaran itu sudah dicapai.

Dasar pelaksanaan konsep baru ini adalah berasaskan konsep perkahwinan antara modal, kemahiran dan tanah, dengan pihak swasta sebagai watak utama, � penduduk rumah panjang sebagai pemilik tanah adat dan agensi kerajaan tertentu berperanan sebagai pemegang amanah tanah adat.

Kini, selepas lebih 10 tahun dilaksanakan, lebih daripada 100,000 hektar tanah adat diluluskan untuk ladang sawit daripada kawasan NCR seluas 1.5 juta hektar. Konflik sering berlaku apabila wujud tuntutan bertindih antara pemilik pribumi dengan syarikat swasta yang telah diberi hak oleh kerajaan untuk menerokainya.

Kerajaan mengharapkan pelabur menyelesaikan masalah dengan masyarakat terbabit, bagi menentukan saiz dan sempadan tanah Bumiputera, sebelum kawasan itu diterokai. Konflik juga berpunca daripada tentangan pemilik terhadap tekanan politik apabila syarikat swasta yang dipilih kerajaan, agensi kerajaan dan pemilik tanah diminta menjalinkan kerjasama membangunkan tanah itu untuk perladangan.

Disebabkan keghairahan untuk mengaut keuntungan, ada yang kurang mempedulikan sensitiviti masyarakat tempatan yang telah tinggal di kawasan terbabit untuk berpuluh-puluh tahun.

Sudah tiba masanya rungutan dan raungan rakyat didengar oleh kerajaan.

Kerajaan perlu dilihat lebih berperikemanusiaan dan mengutamakan kepentingan rakyat; bukannya kepentingan kroni dan syarikat perladangan. Itulah sebabnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam satu lawatannya ke Sarawak mengharapkan masalah itu dapat diselesaikan dengan cara yang berhemah.

Jika tidak, jangan hairan kalau masalah ini akan meledak menjadi bom jangka menjelang pilihan raya akan datang. Dan, tidak hairan juga, meja peguam Baru Bian akan semakin penuh dengan fail kes saman rakyat terhadap kerajaan.

Penulis ialah pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak

No comments

Powered by Blogger.