Adakah “Tidak Bijaksana” Bermaksud Bodoh?

Kenyataan Muhyiddin tidak bijaksana, Pemuda Gerakan

Setiausaha Pemuda Gerakan Dominic Lau Hoe Chai tidak menyetujui kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang melihat dirinya sebagai “Melayu terlebih dahulu, dan warga Malaysia kemudiannya”.

Dalam satu kenyataan medianya, Dominic Lau menganggap hujah ini tidak bijaksana, malah tidak mempertimbangkan perasaan seluruh rakyat kerana jelas membela kaum tertentu.

“Selaku TPM, Muhyiddin harus menjadi TPM untuk seluruh rakyat Malaysia, dan bukannya TPM untuk Melayu. Beliau harus menyedari realiti bahawa Malaysia sebagai sebuah masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama. Saling hormat-menghormati, layanan yang saksama adalah lebih penting, dan bukannya dominasi satu pihak.”

Di samping itu, ketika mengulas pertikaian dan kritikan pembangkang berhubung isu ini, Pemuda Gerakan menyeru agar TPM berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan, terutamanya selepas tsunami politik 8 Mac 2008, yang memberi pengajaran kepada BN agar jangan melewati sensiviti kaum. Apa yang rakyat tuntut adalah kerajaan untuk semua, bukannya kerajaan untuk satu-satu kaum.(Merdeka Review)

Tidak bijaksana maknanya apa? Setiausaha Pemuda Gerakan menganggap kenyataan TPM meletakkan “Melayu mendahului Malaysia” tidak bijaksana. Mengikut Kamus Dewan, “bijaksana” bermaksud berakal budi, arif, pandai dan berhati-hati, cerdik. Kalau begitu “tidak bijaksana” bermaksud tidak berakal budi, tidak arif, tidak pandai dan berhati-hati, tidak cerdik. Adakah semua “tidak …” ini disamakan dengan “bodoh”? Aduhai, kenyataan TPM tidak bijaksana! Patutlah TT panggil Wak Sembab!

Bagi Pemuda Gerakan, kenyataan begini seperti membelakangkan kaum bukan Melayu kerana TPM Malaysia mewakili semua rakyatnya yang perlbagai kaum, bukan mewakili Melayu sahaja. Kenyataan TPM tidak sendirian kerana turut disokong oleh PM. Maka kritikan Setiausaha Pemuda Gerakan tidak hanya kepada TPM, bahkan kepada PM juga. Berani sungguh pemimpin Gerakan sejak PRU 2008. Maklumlah tiada apa yang harus dipertahankan lagi kerana semuanya telah terlepas ke tangan PR.

Dahulu Gerakan tidak berani cuit pemimpin UMNO, apatah lagi TPM atau PM kerana takut diambil balik kerusi KM Pulau Pinang. Sekarang kerusi pencetus masalah antara Gerakan-UMNO Pulau Pinang telah dirampas oleh Lim Guan Eng. Jadi, tiada apa-apa yang perlu dirisaukan lagi oleh Gerakan. Maka kenyataan yang tidak sedap telinga tidak kira keluar daripada mulut siapa wajib dibidas. Mengangguk tanpa sebab kepada pemimpin tertinggi UMNO sebagaimana dilakukan pemimpin Gerakan selama ini tidak membawa untung sesen pun kerana rakyat tidak menilai Gerakan berdasarkan anggukan tersebut. Rakyat menilai Gerakan berdasarkan perjuangan mereka membela dan mempertahankan rakyat pelbagai kaum.

Apakah gunanya Gerakan menjadi parti yang dipuji oleh pemimpin UMNO kerana kesetiaannya sedangkan rakyat tidak menghargainya. Kelangsungan parti bergantung pada rakyat. Pemimpin sehebat mana sekali pun jikalau tidak disokong rakyat, kekuatannya tidak membawa sebarang makna.

Keberanian pemimpin Gerakan membuka mulut membidas pemimpin tertinggi UMNO merupakan petanda awal bahawa Gerakan sememangnya sudah bersedia untuk melangkah keluar dari BN. Gerakan akan lebih bergaya sekiranya menjadi parti Bebas.

http://satumalaysia.wordpress.com/


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.