DiLemma Najib: Memilih Umno Atau MIC ?

Oleh IZMAS

BERDASARKAN senario politik terkini yang sudah melanda teruk imej PKR dan keberkesanan gagasan 1Malaysia PM Najib yang dikatakan sudah meresap masuk ke minda majoriti rakyat, pilihan raya kecil Parlimen daerah Hulu Selangor bakal menemukan pertembungan idea dan kredibiliti dua tokoh penting negara.

Pilihan raya kecil Parlimen di daerah Selangor itu - negeri yang diperintah Pakatan pimpinan PKR - bakal menguji kewibawaan dan populariti Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang dengan krebiliti dan kebolehan PM Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri dan ketua BN.


Pilihan raya kecil itu bakal membongkar apakah kepincangan watak ketua umum Pakatan dan penasihat PKR, Anwar Ibrahim seperti yang didedahkan YB Datuk Zahrain Mohamad Hashim dan YB Zulkiflee Noordin di parlimen tempuh hari itu benar atau rekaan semata-mata. Tuduhan dan dakwaan serius tentang pembongkaran episod Anwar di parlimen itu bakal dijawab rakyat dan pengundi di kawasan itu samada mereka menerimanya dengan penuh kesedaran atau menolak bulat-bulat dengan alasan sebagai retorik politik.

Bagi pemimpin BN, episod itu sudah memberi kelebihan moral kepada mereka untuk menyerang PKR sekaligus Pakatan dan mendedahkannya kepada pengundi di kawasan itu tentang kelemahan ketara kepimpinan PKR. BN dikatakan cukup yakin menggunakan episod itu sebagai modal politik yang signifikan bagi menjatuhkan iemj PKR yang kelihatan semakin tenggelam di mata rakyat.

Namun, keyakinan itu tidak boleh dijadikan sandaran bahawa pengundi di kawasan Hulu Selangor akan menerima bulat-bulat segala pendedahan Zahrain dan Zulkifle itu. Jika ditinjau dalam akhbar dan portal news pro pembangkang, episod itu lebih merupakan pembohongan dan pembongkaran cerita dari mereka yang kecewa kerana tidak mendapat perhatian dan habuan yang diharapkan.

Malah, setengahnya menuduh Zahrain dan Zul sebagai kawan yang tidak reti membalas budi. Kawan yang makan kawan dan rakan parti yang membawa rebah. Mereka berpendapat wakil rakyat yang dipecat atau keluar parti secara sukarela sepatutnya mengosongkan kerusi mereka dan bertanding semula sebagai calon bebas atau mewakilli parti baru. Jika mereka berani berbuat begitu, barulah teruji kebolehan dan kewibawaan mereka sebagai wakil rakyat yang masih diterima pengundi atau disingkir kerana tingkahlaku curang mereka.

Apapun, PM Najib dilapurkan masih yakin pendedahan cerita Zahrain dan Zul boleh mempengaruhi minda rakyat terutama pengundi di Hulu Selangor tentang perpecahan dan krisis yang semakin meruncing dalam PKR. Menurutnya lagi, peluang BN adalah cerah memandangkan majoriti kemenangan calon PKR dalam PRU ke-12 lalu amat tipis, cuma 198 undi. Timbalannya, Muhyiddin juga yakin BN mempunyai kelebihan untuk menang tetapi mengingatkan ahli jangan terlalu over-confident.

Menurut beliau, pendedahan AP bebas dari PKR itu boleh membuka mata rakyat dan pengundi kepada siapa undi harus diberi. Yang menjadi masalah BN ialah memilih calon yang boleh diterima pengundi, mempunyai rekod kerja yang baik dan berwatak bersih.

Menurut tradisi dan perjanjian bersama antara parti komponen dalam BN, kawasan itu harus menjadi milik MIC. Presdien MIC sudah meminta BN menimbangkan semula wakilnya, Datuk G.Palanivel sebagai calon yang layak bertanding. Palanivel yang sudah tiga penggal mewakilli BN kalah tipis 198 undi di tangan calon PKR dalam PRU 12 lalu. Umno Selangor pula sudah mendesak dan mencadangkan supaya bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib sebagai calon yang didakwa boleh memberi kemenangan mudah berdasarkan latarbelakang, kepopulariti dan jumlah pengundi Melayu yang banyak. Kehadiran beliau dikatakan boleh mempengaruhi undi orang Melayu serta menandingi calon Melayu dari PKR yang sudah disebutkan berpotensi dan dikenali ramai.

Suruhan Jaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) sudah menetapkan 17 April ini sebagai tarikh penamaan calon sementara 25hb akan menjadi tarikh membuang undi. Pilihan raya kecil terpaksa diadakan di kawasan parlimen Hulu Selangor berikutan kematian Datuk Zainal Abdidin Ahmad dari PKR yang mempunyai penduduk berdaftar sekitar 63,000 orang. Jumlah pengundi Melayu berjumlah 53.9 peratus, 26.7 peratus India, 19 peratus kaum Cina dan 0.4 pertuas lain-lain bangsa. Dengan kedudukan peratusan yang hampir sama antara orang Melayu dan bukan Melayu, sokongan semua kaum perlu bagi memastikan kemenangan calon yang bertanding.

PKR disebut-sebut akan mencalonkan Datuk Zaid Ibrahim sebagai pilihan pertama serta beberapa nama pemimpin muda lain berbakat sebagai calon yang layak bertanding. Calon yang dipilih pucuk kepimpinan kelak dikatakan boleh mencabar calon pilihan BN sekaligus mempertahan kerusi di kawasan itu di sebalik isu-su tercalar dan imej buruk yang sudah didedahkan dalam parti oleh beberapa AP bebas. Pencalonan Zaid boleh memberi impak besar kepada PKR sekaligus Pakatan kerana ketokohan dan kebolehan beliau sebagai peguam yang dikenali ramai.

Pencalonan beliau dilihat signifikan dan amat kritikal bagi memberi peluang kepada beliau bergerak cergas dalam arus perdana kepimpinan parti jika beliau dilantik sebagi ahli Parlimen (AP). Kemenangan dan keberadaan beliau sebagai AP yang terpilih boleh memperkuat barisan kepimpinan PKR yang ketika ini sudah kelihatan goyah dan sedikit terhakis di mata ahli juga rakyat. Sebagai orang yang banyak idea dan berpengaruh, Zaid boleh memain peranan penting jika apa-apa berlaku pada Anwar dalam kes liwat yang dikatakan tidak memihaknya.

Desakan dan kebimbangan Umno Selangor untuk meletakkan wakilnya menggantikan calon MIC ada asasnya. Jumlah pengundi Melayu yang ramai boleh menjejas peluang BN jika calon yang dibenarkan bertanding bukan dari kaum Melayu. Menurut setengah pendapat, calon Umno boleh memberi saingan kuat kepada calon Melayu PKR dibandingkan BN meletakkan calon MIC. Yang menjadi perhitungan akhir, menurut mereka adalah faktor kemenangan walaupun terpaksa melanggar tradisi.

Dalam senario politik yang sudah berubah akibat tsunami PRU 12 lalu, pemilihan calon yang tepat amat kritikal bagi memastikan kemenangan calon-calon yang bertanding. Walaupun calon MIC boleh diketengahkan sebagai calon pilihan BN - sesuai dengan konsep BN - dikhuatiri undi orang Melayu tidak memihak beliau kerana orang Melayu dikatakan begitu sensitif dan biasanya memberi undi kepada calon Melayu dan beragama Islam. Ini berikutan keberadaan PAS secara eksklusif sebagai rakan PKR dalam Pakatan yang boleh memberi impak besar kepada sentimen dan sensitivti orang Melayu untuk memberi kemenangan kepada calon Melayu beragama Islam.

PM Najib dalam dilemma; memilih calon Umno yang disebut-sebut boleh membawa kemenangan mudah atau memberi peluang terus calon MIC yang didakwa bakal menyukarkan peluang BN? Apakah beliau sanggup melawan arus dan membuat keputusan drastik yang tidak memihak MIC? Melihat kepada dasar Najib yang sederhana dan bertimbangrasa tidak mungkin calon lain selain MIC boleh dipilih. Dalam situasi terkini, Najib tidak mungkin melukakan hati kaum India dan Samy Vellu jika ia mahukan sokongan padu dari kaum itu bagi menjayakan gagasan 1Malaysianya.
Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.