Bila lagi Samy? — Awang Selamat

11 APRIL — Tumpuan orang ramai kini kepada pilihan raya kecil Hulu Selangor yang akan berlangsung pada 25 April ini.

BN sudah pun mengumumkan bahawa calon MIC akan menjadi sandaran meskipun gelombang kuat mahukan calon Umno yang dikatakan berpeluang besar merampas kerusi.

Pun begitu, Awang masih yakin BN boleh menang asalkan mengambil strategi yang betul terutama soal calon. Pilihlah calon terbaik. Seboleh-bolehnya pemimpin setempat, muka baru dan mempunyai imej yang baik.

Penentuan calon amat penting apatah lagi MIC berdepan dengan banyak isu. Pemulihan sokongan masyarakat India belum menyakinkan, yang ada kaitan juga dengan faktor Presiden MIC, S. Samy Vellu. Bila lagi beliau mahu berundur ?

Walaupun Samy Vellu pernah membayangkan sudah mempunyai pelan peralihan tetapi semuanya masih kabur seolah-olah beliau mahu terus memimpin MIC sehingga pilihan raya umum depan.

Pada Awang, isu Samy Vellu lebih menarik daripada pilihan raya kecil. Jika beliau mahu membantu kejayaan BN pada pilihan raya itu nanti maka lebih elok jika beliau mengumumkan pelan peralihan dalam masa terdekat.

Jika Samy Vellu sayangkan MIC dan BN, beliau perlu berundur. Usahlah berdolak-dalih lagi dengan pelbagai alasan. Lagi lama beliau menerajui MIC, lagi besar risiko BN. Buatlah apa pembaharuan dan perubahan sekali pun, ia tidak akan banyak membantu jika pemimpin yang dilihat masih menjadi liabiliti terus berada di koridor kuasa. — Mingguan Malaysia

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.