Isu Royalti: Tengku Razaleigh jelaskan pendirian berhubung tawaran jadi orang tengah

KOTA BAHARU, 11 April — Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan bahawa beliau hanya sanggup menjadi orang tengah sebagai pemantau pengagihan royalti petroleum dan bukannya untuk berunding bagi menyelesaikan isu tuntutan itu.

Bekas Pengerusi Petronas itu berkata langkah itu adalah bagi memastikan jika kerajaan Pusat bersetuju untuk memberikan royalti itu, wang tersebut tidak akan disalahgunakan oleh kerajaan negeri.

“Barangkali orang salah faham sikit tentang tawaran ambo (saya) orang tengah, cuma ambo tawar diri nak jadi pemantau supaya duit yang diberi dalam bentuk pembayaran tunai tu hasil wang royalti tu tidak disalahgunakan, itupun kalau Kerajaan Pusat setuju.

“Tetapi oleh kerana wang itu tidak diberi dalam bentuk pembayaran tunai atau royalti, yang diubah kepada wang ihsan maka ia tidak berbangkit lagi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum itu beliau hadir di majlis perasmian Mesyuarat Agung Ke-13 Persatuan Pegawai dan Kakitangan Masjid Kelantan yang disempurnakan oleh Tengku Bendahara

Kelantan, Tengku Mohamad Faiz Tengku Ismail Petra yang juga merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Kelantan (MAIK) di Kompleks Islam Jubli Perak, Panji di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa mengumumkan bahawa mesyuarat Exco telah meluluskan pelantikan Tengku Razaleigh sebagai wakil perunding kerajaan dalam tuntutan royalti minyak itu.

Tengku Razaleigh turut menegur pihak yang selalu membuatkan tafsiran salah tentang perkara itu ialah orang politik yang “otaknya politik” semata-mata.

Ditanya sama ada beliau sudah menerima surat tawaran daripada kerajaan negeri berhubung pelantikannya sebagai wakil perunding berhubung isu tuntutan royalti itu, katanya beliau masih belum menerima sebarang surat berhubung perkara itu.

Tengku Razaleigh juga menjelaskan bahawa beliau tidak memberi sokongan dalam usaha kerajaan negeri meneruskan tuntutan wang royalti minyak itu cuma apa yang dilakukannya ialah memberi penerangan mengenai hak kerajaan negeri dari segi undang-undang di mana beliau sendiri yang merangka undang-undang petroleum itu.

“Ambo tak akan sokong, ambo hanya cakap dari segi undang-undang, kalau jumpa minyak di perairan Kelantan layak dapat lima peratus. Itu sebagai balasan ke atas minyak yang didapati di luar perairan Kelantan.

“Undang-undang tu tak dipinda sampai sekarang, ini undang-undang hok ambo buat. Itu kehendak undang-undang, itulah juga kehendak Tun Razak dulu. Tak soh nak cari loyerlah (peguam). Ambo sendiri yang buat undang-undang tu,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan Kelantan wajar meneruskan usaha dengan tuntutan royalti itu walaupun Kerajaan Pusat telah memberikannya dalam bentuk wang ihsan, Tengku Razaleigh berkata terpulanglah kepada kerajaan negeri kerana beliau tidak ada kaitan dengan perkara itu.

Beliau juga menolak jika ditawarkan untuk menduduki jawatankuasa pengagihan wang ihsan oleh kerajaan pusat sebagai wakil kerajaan negeri kerana banyak urusan lain yang hendak dilakukannya. — Bernama

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.