Hulu Selangor bukan pemilihan MIC, pilihan raya. — G. Manimaran

7 APRIL — Tinggal hanya 10 hari menjelang penamaan calon pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor. Nampaknya, dua akhbar harian bahasa Tamil — Tamil Nesan dan Makkal Osai - terlibat dalam ‘perang’ serangan peribadi, yang sedikit sebanyak dilihat bakal menjejaskan arah aliran sokongan pengundi kalangan masyarakat India jika tidak dikawal.

Masih belum terlewat!

Lima hari selepas menyiarkan rencana mendakwa bekas timbalan presiden MIC Datuk S. Subramaniam melakukan kerja-kerja mensabotaj peluang Datuk G. Palanivel untuk diturunkan semula, akhbar Tamil Nesan menyiarkan berita muka depan dengan mendakwa bekas orang nombor dua itu meneruskan kerja berniat jahat itu di Hulu Selangor.

Subramaniam didakwa cuba ‘menggali kubur’ untuk MIC. Mahu memastikan MIC tidak menang. Mahu memastikan Palanivel jika diturunkan semula menemui kegagalan.

Rencana itu disiarkan di muka akhir akhbar berkenaan Sabtu lalu. Tetapi hari ini, berita mengecam Subramaniam dipilih sebagai tajuk utama muka depan. Ia berbunyi “Kerja jahat Subramaniam berterusan di Hulu Selangor” manakala tajuk kecil pula berbunyi “Usaha Subramaniam mendapatkan kerusi melalui jalan belakang gagal”.

Berita itu juga mendakwa Subramaniam terus mahu mensabotaj walaupun telah gagal dalam cubaan unuk mendapatkan kerusi itu menerusi jalan belakang. Malah berita itu juga mendakwa reaksi balas dikeluarkan Subramaniam kelmarin menunjukkan Subramaniam seorang opotunis.

Akhbar milik Subramaniam, Makkal Osai pula menyiarkan berita yang memetik pemimpin-pemimpin mendakwa Palanivel tidak diperlukan di Hulu Selangor. Ini berita muka depan akhbar berkenaan hari ini.

Kedua-duanya merupakan antara tiga akhbar harian bahasa Tamil di negara ini.

Subramaniam tidak dipilih sebagai calon sejak pilihan raya umum 2004. Selaku timbalan presiden beliau pernah bertanding di kawasan Segamat untuk beberapa penggal. Sebelum itu beliau tanding di kawasan Damansara, di peringkat awal kerjaya politiknya.

Walaupun pengundi India bukan majoriti di kawasan Hulu Selangor tetapi jumlah mereka adalah agak signifikan dalam menentukan kemenangan mana-mana calon yang bertanding sebagaimana pernah disaksikan pada 8 Mac 2008. Begitu juga pengundi masyarakat Cina.

Selaku pengundi majoriti, Umno kembali menuntut kerusi berkenaan daripada MIC. Permintaan itu menjadi satu desakan selepas Palanivel tewas dua tahun lalu. Ketika itu pun MIC tidak bebas daripada pergolakan dalaman, cuba ia tidak ketara.

Dari segi percaturan politik pilihan raya kerusi Parlimen Hulu Selangor ini sangat penting - bagi MIC, Umno, BN dan Pakatan Rakyat. Begitu juga bagi Palanivel dan Samy Vellu, bukannya Subramaniam.

Dalam kenyataannya kelmarin Subramaniam mendakwa Samy Vellu sedang mencari kambing hitam untuk dijadikan alasan jika MIC dan BN kalah semula dalam pilihan raya kecil.

Samy Vellu, Subramaniam dan Palanivel merupakan personaliti penting, yang mempunyai kaitan antara satu sama lain. Samy Vellu melihat Subramaniam sebagai musuh tradisi dalam kerjaya politiknya. Kedua-dua mereka pernah bersemuka untuk jawatan presiden MIC di mana Samy Vellu mengatasinya.

Samy Vellu cuba menamatkan kerjaya politik selepas pemilihan 1989. Subramaniam digugurkan daripada dipilih sebagai calon pada pilihan raya umum 1990. Tetapi akhirnya Subramaniam menerima tiket untuk kekal di Segamat sehingga tahun 2004. Empat tahun lalu Samy Vellu secara terbuka memberikan restu kepada Palanivel untuk menentang Subramaniam dan Palanivel berjaya merampas kerusi nombor dua. Palanivel yang awalnya dingin hubungan selepas pilihan raya umum 2008 menerima semula sokongan dan restu semula untuk mengekalkan kerusinya September lalu.

Subramaniam dikatakan akan mencuba nasibnya sekali lagi pada 2012. Ketika pencalonan Palanivel di Hulu Selangor walaupun hampir pasti tetapi belum belum rasmi lagi, beberapa pemimpin dalam MIC melihat seolah-olah MIC kini berhadapan dengan pemilihan parti, bukannya pilihan raya kecil yang parti itu hampir pasti akan mewakili Barisan Nasional (BN).

Pemimpin-pemimpin berkenaan juga berpendapat ini bukan masa yang sesuai untuk bertelagah semasa sendiri - ketika parti itu, yang pernah tewas di Hulu Selangor dua tahun lalu, untuk mencari lebih ramai musuh.

Walaupun mereka beranggapan sukar dan tidak adil untuk mengaitkan Samy Vellu dengan tulisan-tulisan dalam Tamil Nesan yang dilihat boleh menjejaskan peluang tetapi, oleh kerana ia dikaitkan dengan akhbar keluarga Presiden MIC, sudah pasti sama ada mahu ataupun tidak nama Samy Vellu untuk diheret bahawa penerbitan sedemikian akan menggambarkan wujudnya konflik dalaman parti.

Ada yang mendakwa Samy Vellu mahu menggunakan pilihan raya kecil ini untuk mengakhiri kerjaya politik beberapa pemimpin MIC. Malah ada yang mendakwa pilihan raya kecil ini petunjuk jelas sama ada Samy Vellu akan melepaskan jawatan presiden dengan segera ataupun akan kekal terus.

Apa pun kini adalah masa pilihan raya kecil bukannya pemilihan MIC. MIC tiada pilihan untuk menarik balik segala sokongan yang terlepas daripada genggaman mereka dua tahun lalu.



* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.