Khalid Mahu Bank Islam Dedah Dokumen Sebelum Perbicaraan Bermula

KUALA LUMPUR 3 April - Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang menyaman Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) kerana mendakwa menjual saham Guthrie Berhad beliau secara salah, mahu bank berkenaan mendedahkan semua dokumen berkaitan kes itu sebelum perbicaraan bermula 4 Mei.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rohana Yusuf menetapkan 6 April untuk mendengar permohonan Abdul Khalid untuk penzahiran semua dokumen itu yang beliau dakwa dalam pemilikan bank tersebut.

Perbicaraan saman utama yang ditetapkan pada mulanya untuk empat hari bermula 16 Mac tetapi ditangguhkan pada 6 dan 7 April ekoran penzahiran perkara berkaitan dokumen berkenaan.

Peguam Abdul Khalid M. Thomas Philip ketika ditanya mengenai kes ini berkata perbicaraan mengenai saman itu telah ditunda sekali lagi sehingga 4 Mei kerana Mahkamah akan mendengar terlebih dahulu permohonan Abdul Khalid mengenai penzahiran dokumen tersebut.

Hakim itu juga menetapkan tarikh berkenaan selepas bertemu Philip dan peguam bank Tommy Thomas apabila kes tersebut disebut Khamis.

Pada 21 Ogos, 2009, Abdul Khalid diperintah oleh mahkamah membayar RM66.67 juta kepada BIMB untuk pinjaman secara Islam bagi membeli saham Guthrie pada 2001, ketika itu beliau ialah ketua pegawai eksekutif (CEO), setelah mahkamah berkenaan membenarkan permohonan bank tersebut untuk satu penghakiman terus.

Bagaimanapun, Abdul Khalid tidak perlu membayar jumlah itu kerana Mahkamah Rayuan pada 3 Mac, membenarkan rayuan beliau untuk mengetepikan penghakiman terus itu yang diperoleh bank berkenaan.

Kes itu dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi kerana Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa isu berkenaan dalam kes ini mestilah dibicarakan sepenuhnya.

Dua saman yang difailkan berkaitan perkara ini, pertama oleh Abdul Khalid terhadap bank itu dan yang satu lagi saman balas bank berkenaan terhadap Abdul Khalid.

Abdul Khalid memulakan satu saman terhadap bank berkenaan pada 18 Mei, 2007, mendakwa bahawa terdapat penjualan saham Guthrie beliau yang salah mengikut fasiliti pinjaman Al-Bai Bithaman Ajil (BBA) bertarikh 30 April, 2001.

Beliau memohon satu deklarasi bahawa terdapat kontrak kolateral antara beliau dan bank berkenaan berkaitan fasiliti pinjaman BBA.

Abdul Khalid, CEO Guthrie dari tahun 1995 hingga 2003, juga memohon ganti rugi daripada BIMB, mendakwa bahawa bank berkenaan telah menjual sahamnya dalam Guthrie.

BIMB memfailkan satu saman balas untuk mendapatkan jumlah RM66.67 juta pada 24 Mei, 2007, mendakwa bahawa perjanjian BBA telah dimungkiri berikutan dengan kegagalan Abdul Khalid membayar semula pinjaman tersebut.

Bernama
Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.