MIC Abai Masalah Kaum India Tanpa Kad Pengenalan

Oleh Rusnizam Mahat

HULU SELANGOR 10 Apr - Kewujudan ramai anggota masyarakat India di Hulu Selangor yang masih tidak mempunyai kad pengenalan MIC dalam peranannya sebagai sebuah parti yang kononya memperjuangkan nasib masyarakat India di negara ini.

Dalam tinjauan Suara Keadilan, ramai kalangan masyarakat India yang ditemui tidak mempunyai kad pengenalan yang menunjukkan mereka sebagai warganegara Malaysia, sebaliknya hanya memegang kad pengenalan berwarna merah yang berstatus penduduk tetap.

Ahli Jawatankuasa Cabang Petaling Jaya Selatan, Dr Sri Ram, berkata isu ini merupakan antara dilema utama yang dihadapi masyarakat India menyebabkan mereka terpaksa menghadapi kesukaran dalam pelbagai urusan rasmi termasuk memohon pelbagai jenis bantuan dari kerajaan atau agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Itu antara isu dan aduan yang kami terima dari masyarakat India di kawasan ini selain soal kemiskinan kerana berpendapatan rendah, kebajikan terabai, kesihatan dan masalah mereka yang kurang upaya.

"Ini membuktikan MIC gagal memberikan perhatian terhadap isu yang dihadapi masyarakat India di sini, selain mengabaikan soal kebajikan memandangkan penduduk yang berpendapatan rendah," kata Dr Sri Ram.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Kampung Hasan, Hulu Bernam sebagai mewakili kerajaan negeri Selangor bagi mendengar aduan dan masalah dihadapi oleh penduduk India di kawasan itu.

Dr Sri Ram berkata di kampung tersebut sahaja, sebanyak 14 aduan diterima mengenai masalah sijil kelahiran dan kad pengenalan yang tidak mendapat perhatian sewajarnya dari pihak berkuasa seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurutnya selain isu kada pengenalan, masyarakat India di kawasan itu turut dihimpit masalah kemiskinan dan kebajikan yang diabaikan MIC.

Menurut Saraswathy Subramaniam, 32, beliau hadir meminta bantuan KEADILAN berhubung masalah yang dihadapi datuknya, Muniandy a/l Ponnusamy yang sehingga kini masih memiliki kad pengenalan berwarna merah.

"Datuk saya sudah tidak bekerja dan kini sedang sakit asma. Saya pernah pergi ke ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara tetapi mereka tolak aduan saya. Ini menyulitkan datuk saya untuk memohon bantuan seperti dari Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana beliau bukan warganegara," ujarnya.

Tambah beliau, perkara itu juga pernah diajukan kepada pihak MIC di kawasan itu tetapi mereka tidak berbuat apa-apa menyebabkan beliau merujuk isu itu kepada wakil KEADILAN.

Sementara itu, Timbalan Ketua Ranting KEADILAN Kalumpang, Hulu Selangor, John Tivindren, 40, berkata, meskipun penduduk datang ke JPN membawa pelbagai dokumen sokongan untuk mendapatkan kad pengenalan sebagai warganegara, permohonan mereka ditolak atau tidak dijawab pihak terbabit.

"Sebagai contoh, ada seorang wanita yang telah berkahwin dengan seorang anggota tentera dan mempunyai pelbagai dokumen termasuk dokumen perkahwinan yang sah pergi ke JPN untuk memohon kad pengenalan yang sah, tetapi pihak JPN menolak permohonan tersebut tanpa memberikan sebarang alasan.

"Isu masalah IC yang menghimpit majoriti masyarakat India di kawasan ini menunjukkan hak mereka sebagai warganegara dicabul sehingga mereka tidak boleh menunaikan kewajipan untuk mengundi pada pilihan raya," katanya.

Tambah beliau pada pilihan raya kecil 25 April depan MIC akan ditolak majoriti masyarakat India di Hulu Selangor yang disifatkan gagal membela nasib masyarakat India dan mendengar masalah yang dihadapi penduduk kawasan terbabit.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.