Orang Asli: Jangan ibarat terlepas mulut singa, masuk mulut buaya

Memorandum bantahan dasar pemberimilikan tanah Orang Asli oleh gabungan jaringan kampung-kampung Orang Asli semenanjung Malaysia

YAB Perdana Menteri Malaysia, YB Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Yang Berusaha ketua pengarah JHEOA.

Memorandum gabungan jaringan kampung-kampung Orang Asli semenanjung Malaysia bertujuan untuk:


Menegaskan bantahan oleh masyarakat Orang Asli terhadap dasar pemberimilikan tanah Orang Asli oleh JHEOA dan kerajaan Malaysia yang telah diluluskan oleh Majlis Tanah Negara yang dibentangkan pada 3 dan 4 Disember 2009 oleh pihak kerajaan dan JHEOA.

Menuntut pengiktirafan hak wilayah tanah adat/wilayah tradisi Orang Asli, merangkumi di darat dan di laut dan tidak hanya mengutamakan golongan lelaki dan juga orang yang sudah berkahwin tetapi harus mengambilkira kepentingan kaum wanita dan yang tidak berumahtangga mengikut Akta Perizapan Tanah Orang Asli yang telah diserahkan oleh pemimpin-pemimpin Orang Asli pada 30 April 2000 kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang ketika itu Datuk Dr. Rais Yatim.

Menuntut kerajaan menguatkuasakan, menggunapakai dan menjadikan UNDRIP satu akta yang sah untuk melindungi hak asasi Orang Asli di negara ini.


YAB,

Kami masyarakat Orang Asli akar umbi dari gabungan jaringan kampung Orang Asli dari 5 negeri di semenanjung Malaysia membantah sekeras-kerasnya dasar ini kerana:

Dasar ini digubal dengan tidak mengikut artikel-artikel yang termaktub di dalam deklarasi hak asasi orang asal antarabangsa (UNDRIP) yang telah dipersetujui sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia tanpa sebarang pertikaian dua kali iaitu ketika majlis hak asasi dan perhimpunan agung pada tahun 2007 bertempat di New York.

Dasar ini langsung tidak menghormati hak dan sensitiviti masyarakat Orang Asli sebagai satu masyarakat yang memiliki keunikan dan identiti yang tersendiri (distinct).

Jika dasar ini dipersetujui, maka, Orang Asli ibarat terlepas dari mulut singa, masuk ke mulut buaya.

Dalam perkara (l) dasar pemberimilikan tanah, dengan jelas menyatakan bahawa Orang Asli tidak boleh menuntut sebarang pampasan, gantirugi atau membawa tuntutan ke mahkamah ke atas tanah yang dinamakan kawasan rayau/saka. Perkara/bahagian ini jelas menghapuskan hak asasi Orang Asli sebagai manusia atau sebagai salah satu kewujudan tuhan meskipun harta benda, hak asasi dan maruah Orang Asli dicabuli.

Perkataan ‘rayau’ yang kerap dirujuk dalam dasar pemberimilikan tanah juga tidak sesuai digunapakai kerana istilah ‘rayau’ tidak wujud dalam masyarakat kami Orang Asli.

Kerajaan tidak boleh memutuskan sewenang-wenangnya jenis pengiktirafan tanah mengikut apa yang dirasakan sesuai oleh kerajaan. Jenis pengiktirafan harus mengikut keputusan, kesediaan, kemampuan dan kemahuan kumpulan Orang Asli terlibat.

Untuk makluman YAB, selama ini, kami masyarakat Orang Asli sangat jelas dengan konsep pemilikan wilayah tanah adat yang telah kami amalkan sejak berkurun. Antaranya adalah seperti berikut:

Setiap kumpulan Orang Asli (yang kini dikenali sebagai kampung) mempunyai wilayah tanah adat tersendiri yang hanya ditadbir/diurus mengikut adat istiadat kumpulan Orang Asli tersebut. Wilayah tanah adat tersebut hanya boleh dimiliki oleh kumpulan Orang Asli setempat yang memang lahir dan berasal dari situ sahaja.

Pentadbiran dan pengurusan wilayah tanah adat yang diamalkan oleh setiap kumpulan Orang Asli adalah jelas dan sistematik kerana setiap wilayah tanah adat mempunyai pecahan dan gunatanah yang telah ditetapkan mengikut adat.

Setiap kumpulan masyarakat Orang Asli amat mengenali sempadan wilayah tanah adat masing-masing melalui bukti-bukti kukuh seperti tanda-tanda alam dan fakta-fakta sejarah. Untuk mengukuhkan lagi gambaran wilayah tanah adat tersebut, masyarakat Orang Asli kini mampu menjalankan pemetaan komuniti secara berdikari menggunakan teknologi terkini iaitu global positioning system (GPS) dan global information system (GIS).

Jika Orang Asli menerima dasar pemberimilikan tanah, maka; adat, budaya, kepercayaan, sejarah, legenda, pengetahuan tradisi dan kemahiran yang merupakan asas kepada jatidiri Orang Asli juga akan lenyap selamanya kerana dasar ini membolehkan Orang Asli dipindahkan/dikumpulkan/diusir dari wilayah tanah adat Orang Asli tersebut.

Dengan sejelas-jelasnya, kami menegaskan bahawa definisi tanah bagi Orang Asli bukan sekadar penempatan dan ekonomi tetapi segala-galanya yang telah kami huraikan di atas.

Sekiranya perkara-perkara yang menjadi asas kepada jatidiri Orang Asli sudah tidak dapat diamalkan, maka istilah Orang Asli juga sudah tidak memberi sebarang erti. Ini seolah-olah kerajaan Malaysia mengamalkan penghapusan etnik Orang Asli di malaysia secara jelas.

Mengikut adat istiadat Orang Asli, pengurusan dan pentadbiran tanah kumpulan Orang Asli adalah lebih selamat melindungi semua pihak termasuk kaum lelaki, wanita dan anak-anak sekiranya berlaku penceraian.

Oleh hal yang demikian, kami menuntut:

Kerajaan mansuhkan dasar pemberimilikan tanah yang baru diluluskan oleh Majlis Tanah Negara kerana dasar ini tidak memberikan sebarang faedah malah langsung menidakkan hak-hak Orang Asli sebagai penduduk asal di negara ini.

Akta 134 hendaklah dikekalkan tetapi kerajaan digesa untuk membuat pindaan kepada Perkara 7(3) yang memberi kuasa kepada kerajaan negeri membatalkan, meminda, mengubah mana-mana pengisytiharan mengenai rizab Orang Asli yang dibuat di bawah Seksyen 3(1).

Kami dengan sebulat suara menggesa kerajaan untuk menggunapakai deraf cadangan Akta Perizapan Tanah Orang Asli 2000 bagi menyelesaikan masalah dan menjamin perlindungan hak orang asli ke atas wilayah tanah adat.

Kami mendesak kerajaan supaya mengiktiraf dan mengisytiharkan UNDRIP sebagai akta yang sah untuk perlindungan hak asasi Orang Asli khasnya dan orang asal di Malaysia amnya.

Sebarang pindaan akta, penggubalan akta, pelantikan pemimpin Orang Asli (senator atau badan-badan tertentu) yang berkaitan dengan Orang Asli secara langsung hendaklah melibatkan pendapat, persetujuan, dan keputusan Orang Asli dari semua peringkat iaitu akademik, professional, pemimpin tempatan dan akar umbi. Ini adalah untuk memastikan keizinan berdasarkan makluman awal, bebas dan telus (free, prior informed consent) yang terkandung dalam Undrip dihormati sewajarnya. Ini adalah untuk memastikan sebarang hasil keputusan memberikan manfaat kepada seluruh masyarakat Orang Asli.

Perkara di atas kami tegaskan kerana banyak perkara seperti pelantikan senator, pemilihan pengarah dan kakitangan di jabatan hal ehwal Orang Asli, penggubalan dasar pembangunan Orang Asli, penggubalan akta, pelupusan status tanah Orang Asli dan persetujuan ke atas pencerobohan tanah adat Orang Asli, dibuat tanpa makluman awal, pendapat, keizinan dan persetujuan masyarakat kami Orang Asli.

Kerajaan mesti mengiktiraf Orang Asli sebagai salah satu bangsa di Malaysia. Berhenti mengkategorikan Orang Asli sebagai bangsa ‘dan lain-lain’.

Kerajaan mesti menghentikan dengan segera sebarang tindakan yang menggambarkan bahawa Orang Asli tidak dilindungi oleh undang-undang di Malaysia kerana Artikel 8 dalam perlembagaan negara antara lainnya mengiktiraf kesamarataan hak untuk semua warganegara dan Artikel 13 memberi jaminan pampasan yang setaraf dengan nilai semasa apabila harta benda dirampas/dimusnahkan/dicabuli secara paksa.

Projek-projek ekonomi yang dijalankan oleh kerajaan untuk Orang Asli contohnya tanam semula berkelompok (TSK), rancangan pengumpulan semula (RPS) dan penempatan semula (PSK), telah terbukti tidak mendatangkan sebarang hasil malah membebankan dan menambahkan lagi kadar kemiskinan di kalangan masyarakat Orang Asli yang terlibat dengan projek-projek tersebut. Projek-projek sebegini mesti dihentikan tetapi sekiranya hendak diteruskan, hendaklah:

Dibangunkan di dalam kawasan tanah adat yang belum dibangunkan oleh Orang Asli yang mana lokasinya dipersetujui dan ditentukan sendiri oleh Orang Asli tempatan. Ini adalah supaya tanaman yang sedia ada tidak musnah dan ekosistem serta biodiversiti di kawasan tersebut terpelihara.

Orang Asli sendiri diberikan latihan kemahiran yang cukup supaya mampu mengendalikan dan menguruskan projek-projek ini secara berdikari hasil daripada projek-projek ekonomi ini mesti dikembalikan sepenuhnya kepada Orang Asli tempatan.

Kami menegaskan lagi bahawa, bagi masyarakat Orang Asli, masa depan dan kesinambungan masyarakat kami terikat kepada alam semulajadi dan penciptanya. Di samping itu, dalam kehidupan kami, termasuklah dalam hal yang berkenaan dengan wilayah tanah adat, kami sendiri yang berhak menentukan kehendak dan keperluan mengikut apa yang kami tentukan yang terbaik bagi kami, bukan kepada kerajaan dan orang politik.


Isi kandungan memorandum ini adalah rumusan daripada memorandum-memorandum yang telah diserahkan sebelum ini oleh Orang Asli dan juga hasil daripada perbincangan pelbagai peringkat Orang Asli termasuk persidangan tanah Orang Asli peringkat semenanjung yang telah diadakan di Kuala Lumpur pada 14 hingga 16 Disember 2009.

Oleh hal yang demikian, dilampirkan bersama dengan memorandum ini ialah tandatangan sokongan wakil-wakil Orang Asli dari negeri Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Kelantan (Melaka, Kedah, Terengganu).

sumber

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.