Pakatan Rakyat Kecam SPR Halang Mafrel Pantau PRK Hulu Selangor

Oleh Faizal Ezzany

KUALA LUMPUR 7 Apr - Suruhanjaya Pilihan Raya mengambil tindakan tidak membenarkan Badan Pemantau Pilihan Raya Bebas Malaysia (Mafrel) bagi memantau pilihan raya kecil Hulu Selangor ekoran kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar sekaligus menguatkan persepsi rakyat SPR berada di bawah telunjuk Umno-Barisan Nasional.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menegaskan SPR seolah-olah takut bila ada badan bebas yang akan memantau tindakan mereka pada pilihan raya.

"Kenapa SPR perlu takut kepada satu badan bebas yang memantau pilihan raya, ini menunjukkan SPR mengikut telunjuk Umno-Barisan Nasional yang tidak berpuashati dengan kenyataan yang telah dibuat oleh Mafrel apabila beberapa pengumuman berkenaan dengan projek yang telah dibuat oleh Barisan Nasional (BN) yang menggunakan kedudukan mereka sebagai kerajaan.

"Mafrel menyifatkan tindakan yang telah dilakukan oleh BN adalah bertentangan dengan syarat pilihan raya yang menghalang sebarang parti berkempen sebelum penaman calon, tetapi kenyataan yang betul dengan syarat SPR itu telah di kecam oleh Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar.

"Kita lihat disini SPR tidak bersedia untuk melihat satu badan yang bebas membuat pemantauan bagi memastikan pilihan raya itu adil, bebas dan demokrasi yang tidak ada amalan yang bertentang," kata Mahfuz.

Mahfuz juga menjelaskan ini adalah satu perancangan Umno-BN bagi memastikan pilihan raya memihak kepada mereka.

"Ini adalah satu rancangan yang telah diaturkan oleh Umno-BN untuk mereka melakukan sesuatu yang bertentangan bagi memastikan kemenangan memihak kepada mereka dan SPR mahu perkara yang dilakukan itu tidak dapat diketahui oleh masyarakat umun terutamanya dari Pakatan Rakyat.

"Pilihan raya ini akan wujud konpirasi antara SPR dan juga Umno yang kita perlu dedahkan. Kepincangan pada pilihan raya Hulu selangor akan berlaku bila melihat tindakan SPR yang boleh dianggap bertentangan dengan prinsip demokrasi negara ini. Kalau daripada awal sebelum penamaan calon sudah ada konpirasi maka bila berlangsungnya pilihan raya wujudnya perkara yang secara terus melanggari hak kebebasan rakyat untuk membuat pemilihan," tegas beliau lagi.

Beliau juga kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh SPR yang mahu menarik balik pengiktirafan yang telah diberikan kepada Mafrel sebagai badan bebas yang memantaui perjalanan pilihan raya negara ini.

"Pengiktirafan yang telah diberikan kepada Mafrel harus diperjuangkan dan tidak boleh ditarik balik kerana negara kita adalah negara demokrasi bukan negara diktator. Bagi Mafrel walaupun tanpa pengiktirafan mereka boleh lagi bergerak sebagai badan bebas tetapi terpaksa menbghadapi halangan yang besar sama ada dari pihak berkuasa atau pun pihak SPR itu sendiri.

"Mafrel perlu mengambil tindakkan yang tegas dalam mempertahankan pengiktirafan yang telah diberikan kepada mereka agar prinsip yang diperjuangkan oleh mereka kepada negara demokrasi ini dapat ditunaikan.

"Pakatan Rakyat akan membawa hal ini dalam mesyuarat agar pengiktirafan yang telah diberikan oleh Mafrel dikekalkan dan ini bukan untuk kepentingan Pakatan Rakyat tetapi untuk semua parti negara ini yang cintakan demokrasi," jelas Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS.

Mahfuz juga berpendapat tindakan SPR itu sebagai langkah awal Umno-BN dalam menghadapi pilihan raya Sarawak dan juga pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Umno sekarang sedang berusaha untuk mengekalkan kemenangan mereka dan sekarang mereka sudah merancang sesuatu dari awal lagi walaupun itu bertentangan dengan soal demokrasi negara ini. Mereka mencari apa sahaja pendekatan untuk memastikan pencabulan demokrasi dapat dilindungi dan ditutup oleh SPR dan tidak ada pihak lain yang akan memberi pendedahan terhadap penyelewengan yang mereka lakukan.

"Taktik yang kotor akan mereka gunakan pada pilihan raya kecil ini dan juga pada pilihan raya yang akan datang," kata Mahfuz.

SPR dalam kenyataan mediannya memutuskan untuk tidak lagi melantik Mafrel atas alasan ia telah melanggar syarat pelantikan kerana gagal mengemukakan laporan kerja pemantauan yang dilakukan semasa kesemua sembilan pilihan raya kecil sejak Ogos 2008. Tindakan diambil setelah Noh Omar mengecam tindakan Mafrel sebelum ini.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar dalam kenyataannya menjelaskan Mafrel tidak akan dilantik sebagai pemantau pilihan raya pada kali ini dan kemungkinan Mafrel akan kehilangan pengiktirafan yang telah diberian.

Mafrel merupakan satu-satunya badan pemantau tempatan yang telah diiktiraf SPR untuk memantau perjalanan pilihan raya khususnya sejak enam tahun lalu.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.