Perkasa pula buat laporan terhadap Karpal

KUALA LUMPUR, 7 April — Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini membuat laporan polis terhadap Pengerusi DAP Karpal Singh berhubung kenyataan beliau yang didakwa mempertikaikan hak dan keistimewaan orang Melayu.

Ketua Wira Perkasa Kuala Lumpur Arman Azha Abu Hanifah membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini pada kira-kira 11 pagi.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, beliau berkata kenyataan anggota Parlimen Bukit Gelugor itu, seperti yang tersiar dalam sebuah akhbar tabloid berbahasa Melayu dua hari lepas jelas boleh menimbulkan keadaan huru-hara dan perlu disiasat mengikut Akta Hasutan.

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) turut membuat laporan polis yang sama semalam.

Sementara itu, Karpal Singh menafikan bahawa beliau mempersoalkan hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera semasa satu sidang akhbar yang diadakannya di Pulau Pinang, Ahad lalu.

"Saya tidak mempersoalkan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera mengikut Perkara 153 (Perlembagaan Negara)," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini. — Bernama
Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.