Pakatan Rakyat Sabah Siap Siaga Hadapi PRK Sibu

Oleh Faizal Ezzany

KUALA LUMPUR 9 April - Pakatan Rakyat Sabah sudah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Bandar Sibu berikutan kematian Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau akibat barah di Hospital Selayang hari ini.

Pengerusi Majlis Pemimpin KEADILAN Negeri Sabah, Ahmad Thamrin Jaini yang dihubungi menjelaskan ini adalah ujian sebenar jentera parti dalam menguji persiapan yang telah dilakukan.

"Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Datuk Robert Lau. Kita telah bersedia dari awal lagi sebagai persiapan untuk pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya ini sebagai ujian kita untuk menguji jentera parti.

"Siapa juga calon yang diputuskan oleh pimpinan pusat kita akan sokong kerana kita berpegang kepada perjuangan parti. Berita ini saya baru terima dan satu mesyuarat akan diadakan bagi membincangkan persiapan kita bagi membantu jentera parti di Sibu nanti," jelas Thamrin kepada Suara Keadilan.

Sementara itu Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham dari DAP berkata parti itu tidak akan mengulas mengenai persiapan pilihan raya kecil Sibu buta masa ini kerana menghormati kematian Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau.

"Kita tidak akan menjelaskan apa-apa perkembangan tentang persiapan kita pilihan raya tersebut, tindakan ini diambil bagi menghormati kematian Datuk Robert Lau.

"DAP mengucapkan takziah kepada keluarga Datuk Robert Lau yang sekarang berada dalam kesedihan atas kehilangan orang tersayang, selain itu terima kasih diucapkan atas pengorbanan yang mendiang lakukan kepada masyarakat di Sibu.

"Sebarang pengumunan akan dilakukan selepas pengebumian mendiang dan kita akan maklumkan," kata Ngeh.

Pilihan raya umum ke 12 lalu menyaksikan pertandingan tiga penjuru yang dimenangi Lau, 68, dari SUPP dengan majoriti 3,235 undi apabila menewaskan calon DAP Wong Ho Leng dan calon KEADILAN Lim Chin Chuang.

Kerusi Parlimen P212 Bandar Sibu mempunyai 53,679 pengundi, dengan majoriti kaum Cina (60 peratus), Melanau (20 peratus), Iban (18 peratus) dan Orang Ulu (1.1 peratus).

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.