Sultan Pahang punya kuasa tentukan hukuman Kartika

KUALA LUMPUR, 5 April — Keputusan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah meringankan hukuman sebat Kartika Sari Dewi Shukarnor dengan kerja khidmat komuniti tidak wajar dipertikaikan kerana baginda mempunyai kuasa mutlak untuk berbuat demikian, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

“Sultan adalah pemerintah tertinggi dalam agama Islam. Baginda boleh menentukan apa saja hukuman berdasarkan kepada kepentingan awam,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Persatuan Peguam Syarie Malaysa (PGSM) sebelum ini yang mempertikaikan keputusan meringankan hukuman sebat kepada menjalani hukuman khidmat masyarakat terhadap Kartika Sari Dewi, 33, yang bersalah kerana meminum arak.

Dia menjalani hukuman khidmat masyarakat di Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah mulai Jumaat lepas untuk tempoh selama tiga minggu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika diminta mengulas perkara sama berkata pihaknya hanya mempunyai kuasa terhadap penguatkuasaan keputusan itu.

“Keputusan itu sudah jelas dan pihak kementerian hanya menguatkuasakan apa yang sudah diputuskan. Tuan punya badan (Kartika) sendiri pun sudah menerimanya, jadi kita bertanggungjawab dalam bidang kuasa kita sahaja,” katanya. — Bernama

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.