Matthias Chang dimasukkan ke Hospital Serdang

KUALA LUMPUR, 5 April — Bekas setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad, Matthias Chang Wen Chieh (gambar) yang dipenjarakan atas kesalahan menghina mahkamah dimasukkan ke Hospital Serdang pagi tadi selepas lima hari melancarkan mogok lapar.

Jurucakap hospital itu ketika dihubungi Bernama hari ini berkata Chang dimasukkan ke wad kecemasan kira-kira pukul 11.59 pagi sebelum dipindahkan ke wad biasa pada pukul 1.12 petang.

Bagaimanapun pihak hospital enggan mendedahkan sebab beliau dimasukkan ke hospital.

Chang dilaporkan melakukan mogok lapar selepas diperintahkan menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang pada 1 April lepas apabila enggan membayar denda RM20,000 yang perlu dilunaskan dalam masa seminggu ekoran kesalahan menghina mahkamah.

Menurut satu kenyataan yang disiarkan di laman web milik Chang, www.futurefastforward.com, beliau akan bertindak demikian sehingga pihak hakim berkenaan berhenti bersikap berat sebelah terhadap peguam dan pihak-pihak berkaitan

Kata kenyataan itu lagi, Chang juga akan terus mogok lapar sehingga pihak berkuasa yang berkaitan bersetuju mengkaji semula hukuman yang berat terhadap kesalahan menghina mahkamah itu mengikut Aturan 52 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980.

Beliau enggan memohon maaf setelah berlaku pertikaman lidah semasa kes saman yang dikemukakannya terhadap American Express (Malaysia) Sdn Bhd yang didengar hakim berkenaan pada 25 Mac lalu. — Berna

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.