Usahawan Melayu kecewa, terkejut MEB gagal tawar elemen baru

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 6 April — Model Ekonomi Baru (MEB) yang diumumkan minggu lalu kelihatan tidak mendapat tempat di kalangan usahawan Melayu dan Bumiputera yang melahirkan “kekecewaan dan terkejut” kerana pendekatan-pendekatan baru yang diumumkan tidak menjanjikan “kelebihan” kepada orang Melayu dan Bumiputera.

“Apabila Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mengadakan pertemuan dengan sayap peringkat negeri dan badan-badan bukan kerajaan (NGO), tidak seorang pun yang berkata mereka gembira, hampir semua tidak gembira, terkejut dan kecewa,” kata Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang Rizal Faris Mohideen malam tadi.

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia pusat telah mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli cawangan peringkat negeri dan hampir 40 NGO usahawan minggu lalu untuk mendapatkan pandangan selepas laporan pertama MEB diumumkan, 30 Mac.

Rata-rata semua yang hadir, menurut Rizal, yang pertengahan bulan lalu mengekalkan kedudukannya untuk penggal kedua menerajui DPMM Pulau Pinang berkata, orang Melayu dan Bumiputera sebenarnya telah mengharapkan sesuatu yang lebih baik selepas “beberapa kepentingan” mereka tergugur sejak kepimpinan baru mengambil alih kepimpinan kerajaan.

“Sekurang-kurangnya kami telah mengharapkan agar apa yang hilang sebelum ini dikembalikan tetapi tidak berlaku dan soal agenda Melayu pula tidak jelas dalam MEB,” kata beliau kepada The Malaysian Insider selepas mengambil bahagian dalam wacana MEB anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di sini.

NGO Melayu seperti Perkasa dan Majlis Perundingan Melayu juga melahirkan pandangan dan pendirian hampir sama dalam isu ini.

Kepentingan Melayu yang tergugur yang dimaksudkan ialah keputusan kerajaan memperkenalkan langkah tambahan pikat pelaburan asing jana ekonomi negara dengan membuka pasaran 27 sektor kecil perkhidmatan tanpa sebarang syarat pegangan ekuiti tempatan dalam usaha menarik pelaburan asing, teknologi dan menjana peluang pekerjaan bertaraf tinggi.

Ia meliputi perkhidmatan dalam bidang komputer dan yang berkaitan; pelancongan; kesihatan dan sosial; pengangkutan; sukan dan rekreasi; perniagaan; sewaan/pajakan tanpa operator serta pengangkutan sokongan dan bantuan.

“Kemudian kita kehilangan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, satu kementerian yang penting... dalamnya ada banyak agensi, tidak silap saya tujuh hingga 11 agensi, yang sebelum ini terlibat dalam membantu usahawan Melayu dan Bumiputera, antaranya latihan,” katanya.

“Jadi kami sebenarnya meletakkan harapan bahawa ia akan membawa harapan baru dengan mengembalikan apa yang kami sudah kehilangan tetapi pengumuman Model Ekonomi Baru ini membawa kejutan kepada kami,” katanya lagi.

Kementerian itu dimansuhkan dalam penyusunan semula barisan Kabinet ketika Datuk Seri Najib Razak menerajui kerajaan sebagai perdana menteri sejak April 2009.

Rizal berkata, selepas hampir

50 tahun tidak memperlihatkan kejayaan yang diharapkan termasuk di bawah sembilan rancangan pembangunan dan Dasar Ekonomi Baru, pihaknya telah menjangkakan satu panduan baru.

“Apa panduan baru daripada kerajaan? Apakah kedudukan orang Melayu sekarang ini akan berterusan?” soal beliau.

Kata beliau, kekecewaan itu lebih terasa apabila tiada penglibatan bersama usahawan-usahawan Melayu dalam merangka dasar ekonomi yang terbaru ini.

“Tidak dinafikan kerajaan mengadakan perbincangan dalam isu-isu tertentu sebelum ini tetapi tiada penyertaan besar dalam pembentukan model ekonomi ini,” kata beliau.

Sehubungan itu Rizal yang mengakui wujudnya elemen ketirisan dalam pelaksanaan program kepada orang Melayu dan Bumiputera, mengesyorkan agar kerajaan menerima peranan NGO.

“Kerajaan perlu meletakkan peranan pihak ketiga ini (NGO) dalam kerja-kerja pelaksanaan... kita perlu melakukan perubahan secara drastik.

“NGO yang terlibat dalam bidang ekonomi boleh menjadi pihak yang penting, kerana NGO akan melakukan dengan bersungguh-sungguh, penyertaan yang lebih menyeluruh,” katanya.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.