‘Ubat’ saya sudah pergi selamanya - Aznil
Aznil ketika hadir di upacara pengebumian sahabat baiknya, arwah Din Beramboi di Kepong, Jumaat lalu. -
Oleh KEMALIA OTHMAN
PEMERGIAN Allahyarham Mior Ahmad Fuad Mior Badri atau lebih dikenali sebagai Din Beramboi pada pukul 12.30 malam Jumaat lalu mengejutkan seluruh rakyat Malaysia, malah ramai yang masih tidak mempercayai perkara tersebut.
Lawak jenaka yang sering berkumandang di corong radio dan televisyen masih lagi segar di ingatan, sementara keletahnya yang membawa seribu keceriaan dalam sesebuah kehidupan tidak mungkin dapat dilupakan.
Pengacara terkenal, Aznil Nawawi yang juga merupakan pasangan Allahyarham dalam program Riuh Pagi Era, menzahirkan rasa sedih dan terkejut dengan pemergian rakan karibnya itu. Dia yang masih merasakan kehangatan semangat Din ketika bergandingan pada setiap awal pagi di konti Era FM mengakui kehilangan arwah tidak akan ada penggantinya.
“Secara jujurnya pemergian Din memberi tamparan hebat kepada saya. Kejadian ini berlaku terlalu pantas dan betul-betul di depan mata saya. Bagi saya arwah tidak ada penggantinya sampai bila-bila pun dia adalah yang terbaik.
“Dia seorang yang sangat rendah hati, sentiasa buat orang gembira. Apa yang dia fikir hanyalah untuk mengembirakan orang lain. Saya pernah marah dia kerana berjenaka ketika saya sedang bersedih namun dia kata pada saya, tiada penyelesaian jika terus bersedih dan ketawa adalah ubat bersedih.
“Selepas ini siapa yang mahu buat saya ketawa ketika saya bersedih? Siapa yang mahu tegur dan marah saya lagi? Dia pernah kata, ketawa adalah ubat bersedih. Kini ubat saya telah pergi buat selamanya,” ujar Aznil sambil mengelap air matanya yang mengalir di pipinya.
Dalam pada itu, dia turut kesal kerana tidak mempengaruhi Din ke hospital semasa mula menunjukkan tanda-tanda demam yang disangkakan demam biasa.
“Arwah sudah demam beberapa hari, dia cuba sembunyikan yang dia sakit dan pura-pura sihat, tapi saya tahu. Dia cuba kawal batuk tapi di belakang saya dia batuk teruk.
“Saya nasihatkan dia tapi dia degil, dia tidak mahu pergi hospital atau klinik dan takut makan ubat. Hingga isterinya paksa ke klinik selepas beberapa hari demam. Saya rasa dia ambil masa yang lama untuk pergi sehingga keadaan jadi semakin teruk,” terangnya atau lebih mesra dengan panggilan Pak Nil.
Ketika ditanya tentang program Riuh Pagi Era yang dikendalikan bersama arwah, ternyata dia tidak mampu memberikan sebarang jawapan mengenainya.
“Entahlah... saya tidak tahu selepas ini bagaimana, secara jujurnya saya katakan saya setuju untuk mengendalikan program ini kerana dia.
“Ketika mula-mula dia dapat tawaran dari Era FM untuk slot pagi, dia call dan pujuk saya, dia kata, Nil, kau kerja la dengan aku pagi-pagi. Saya jawab, saya tidak suka bangun pagi. Lepas itu dia tanya saya, dia nak kerja dengan siapa kalau bukan dengan saya.
“Selepas itu, saya sendiri tawarkan diri untuk kerja pagi sedangkan pada masa itu pihak Era sendiri tidak tahu yang saya dan Din sudah berkomplot,” jelasnya yang diberi cuti selama seminggu mulai Khamis lalu.
Dalam pada itu, Aznil menganggap pemergian arwah sangat dirasai oleh rakyat yang mula menerimanya sebagai seorang pelawak dan penghibur tanah air.
“Saya tahu susah payah dia sebelum ini, dia melawak untuk mencari rezeki untuk keluarga. Sebelum ini dia tidak ada kerja tetap, dia pernah menjual kek pisang di pasar sehinggalah dapat tawaran di Astro. Bukan mudah untuk mencapai tahap apa yang dikecapi sekarang.
“Tapi sayang, dia pergi di saat rakyat Malaysia mula mengenali dan menerimanya. Ketika dia berada di puncak kerjayanya. Dia gembira sangat tercalon dalam Anugerah Bintang Popular akan datang ini. Siapa pun yang menang bagi saya hanya dia sahaja yang layak dan berhak,” katanya.
Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!
No comments
Post a Comment