Maklum Balas YB.Nurul Izzah Terhadap Isu Pusat Permata Di Hulu Selangor Jika BN Menang

–Kenyataan Media–

MAKLUM BALAS NURUL IZZAH ANWAR, AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI TERHADAP ISU : “PUSAT PERMATA DI HULU SELANGOR JIKA BN MENANG”

5 April 2010

Utusan Malaysia hari ini melaporkan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor turut bercadang untuk mewujudkan Pusat Permata Negara di Hulu Selangor jika Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April ini.

Sungguhpun saya mengalu-alukan usaha PERMATA untuk meningkatkan mutu pendidikan awal kanak-kanak di negara, namun berita ini amat menggusarkan saya. Usaha murni untuk menaiktaraf mutu pendidikan awal ini tidak seharusnya diberikan kepada rakyat dalam bentuk tebusan untuk meraih kemenangan di Ulu Selangor.

PERMATA selaku sebuah badan yang diiktiraf oleh kerajaan untuk memperuntukkan kemudahan pendidikan awal kanak-kanak dan telahpun diberikan peruntukan sebanyak RM20 Juta untuk usaha mereka, seharusnya memberikan sumbangan dan bantuan kepada semua kawasan yang memerlukan tanpa perlu menunggu adanya pilihanraya kecil.

Saya mempertikaikan keikhlasan hasrat Datin Seri Rosmah ini sungguhpun beliau mendakwa ianya akan dilaksanakan demi kepentingan anak-anak kecil di Ulu Selangor. Apakah beliau akan menafikan kemudahan yang dijanjikan sekiranya Barisan Nasional kalah dalam pilihanraya kecil Ulu Selangor kelak?

Saya menyeru kerajaan Barisan Nasional agar tidak memperalatkan kebajikan kanak-kanak untuk kepentingan parti sebaliknya melaksanakan tanggungjawab sosial kerajaan tanpa mengira politik kepartian serta kepentingan peribadi.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai, WP

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.