Perbicaraan Kes Khalid Ibrahim Saman Bank Islam Bermula Hari Ini

KUALA LUMPUR 17 Mei - Hari pertama perbicaraan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang menyaman Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), diberitahu bahawa perjanjian kemudahan pinjaman Al-Bai Bithaman Ajil (BBA) tidak mewakili perjanjian antara pihak-pihak berkenaan secara
keseluruhan.

Dalam pernyataan pembukaan yang dikemukakan peguam Menteri Besar itu, Malik Imtiaz Sarwar kepada mahkamah, Abdul Khalid menyatakan bahawa kemudahan BBA berada dalam konteks yang dibentuk dalam tempoh sembilan tahun, di mana hubungan bank dan Abdul Malik adalah lebih berbentuk pengusaha bersama dan bukannya sekadar hubungan "bank" dan "pelanggan".

Pernyataan itu menyebut bahawa kemudahan BBA, bertarikh 30 April 2001, itu distruktur khusus bagi pihak berkenaan sebagai mekanisme untuk membolehkan bank menyelamatkan diri daripada kerugian kewangan.

Ia juga menyebut bahawa pada 1998, Abdul Khalid telah mengatur suntikan kewangan USD100 juta (RM319.299 juta) oleh Bank Pembangunan Islam (IDB) ke dalam Bank Islam Labuan Ltd (BILL) bagi membiayai pemerolehan saham-saham Kumpulan Guthrie Berhad (KGB).

Pernyataan itu menyatakan pemerolehan saham-saham itu hanya memerlukan sebahagian daripada USD100 juta (RM319.299 juta). Abdul Khalid memeterai perjanjian Murabaha bersama bank itu dengan pemahaman bahawa penjualan saham-saham KGB akan membolehkan kedua-dua pihak untuk meraih keuntungan besar.

Ia menyatakan bahawa perjanjian itu lebih penting dan tidak seperti dua perjanjian Murabaha pada 1998, kemudahan BBA tidak mengandungi klausa keseluruhan pinjaman.

"Ini memberi kepercayaan kepada dakwaan Tan Sri Abdul Khalid bahawa wujud kontrak kolateral," menurut pernyataan itu.

Ia menyebut bahawa bank itu mengendalikan kedudukan sewajarnya sehingga 2005 apabila notis tambahan yang mencetuskan dakwaan Bank Islam itu dikeluarkan dan ketika inilah Abdul Khalid tidak membuat sebarang bayaran selain daripada pemindahan saham-saham dan dividen-dividen enam bulan sekali, menerusi baki kumpulan saham-saham.

"Bank Islam menguruskan kumpulan saham-saham itu. Tan Sri (Abdul) Khalid tiada pada waktu-waktu itu dinyatakan sebagai gagal membayar hutang. Ini ditunjukkan daripada bukti yang mengarah kepada wujudnya satu hubungan dan kontrak kolateral," menurut pernyataan itu.

Abdul Khalid, yang hadir di mahkamah pada perbicaraan sebelah pagi, mengemukakan saman terhadap bank itu pada 18 Mei, 2007, dan mendakwa bahawa bank telah menjual saham-saham Guthrie Berhad beliau secara salah.

Beliau menuntut satu deklarasi bahawa wujud kontrak kolateral antara beliau dan bank berkaitan kemudahan pinjaman BBA.

Abdul Khalid, CEO Guthrie dari tahun 1995 hingga 2003, juga memohon ganti rugi daripada BIMB, mendakwa bahawa bank berkenaan telah menjual sahamnya dalam Guthrie.

BIMB memfailkan satu saman balas untuk mendapatkan jumlah RM66.67 juta pada 24 Mei, 2007, mendakwa bahawa perjanjian BBA telah dimungkiri berikutan dengan kegagalan Abdul Khalid membayar semula pinjaman berkenaan.

Saksi pertama plaintif, Datuk Idris Md Tahir, yang merupakan ketua pegawai eksekutif BIMB Securities Sdn Bhd (BIMBSec), telah disapina peguam plaintif hari ini untuk mengemukakan dokumen-dokumen berhubung pergerakan saham-saham KGB, yang diperoleh Abdul Khalid sebagai opsyen oleh Permodalan Nasional Berhad bagi membeli sejumlah peratusan saham-saham KGB.

Semasa pemeriksaan utama oleh seorang lagi peguam Abdul Khalid, M. Thomas Philip, Idris berkata terdapat enam akaun urusniaga dan tujuh akaun sistem depositori pusat (CDS) yang digunakan bagi fasiliti berkenaan sebelum kemudahan pinjaman BBA diwujudkan.

Beliau berkata terdapat pergerakan saham-saham antara pelbagai akaun-akaun (berurusniaga dan akaun-akaun CDS), dan sebahagian daripada akaun-akaun itu dipegang pihak ketiga yang dikendalikan oleh pegawai bank berkenaan.

Thomas: Anda kata ada enam akaun trading (berurusniaga) dan tujuh akaun CDS, apa kaitan akaun ini?

Idris: Semua akaun ini berurus niaga saham kumpulan Guthrie sahaja dan kesemua akaun ini mengendalikan arahan oleh Bank Islam Labuan Ltd (BILL).

Idris berkata tujuan akaun tersebut dibuka adalah bagi pembelian dan penjualan saham di pasaran terbuka.

Beliau berkata pada Julai 2006, bank itu diarahkan oleh BIMBsec untuk memindahkan kesemua saham-saham KGB ke penama Cimsec Sdn Bhd, meskipun pada masa itu BIMBsec belum ditamatkan sebagai penjaga.

Idris berkata pada Julai 2006, bank itu menjual 48 juta saham dalam KGB kepada Felda.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rohana Yusof bersambung pada 31 Mei.

Bernama


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.