Solat Hajat Munajat untuk Tok Guru

PASIR MAS – Masjid Banggol Kulim, Rantau Panjang dekat sini, dipenuhi penduduk sempena Majlis Solat Hajat Munajat memohon kesejahteraan Menteri Besar Kelantan setelah mendapat ugutan daripada seorang lelaki di laman sosial baru-baru ini.

Speaker Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, solat hajat ini inisiatif penduduk untuk memohon keberkatan bagi keselamatan khususnya untuk Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pemimpin-pemimpin lain amnya.

“Dulu, tiada kes ugut mengugut ini dibuat, lebih-lebih lagi kepada tokoh agama dan pemimpin peringkat negeri tapi sekarang rasa hormat itu sudah hilang,” katanya kepada :Sinar Harian,: semalam.

Menurutnya, remaja dan belia ketika ini sudah hilang rasa hormat kepada golongan lebih tua daripada mereka dan mungkin kerana kurangnya didikan agama dan budi pekerti di dalam jiwa mereka.

Beliau berkata, ibu bapa perlu menerapkan pegangan agama kepada anak-anak supaya kehidupan mereka lebih terjamin bukan sahaja di dunia, malah di akhirat.

Mohd Nassuruddin berkata, bekalan ilmu agama perlu diterapkan sejak kecil kerana ilmu yang banyak amat berguna tetapi jika anak-anak hanya dibekalkan dengan harta, ia hanya akan membebankan mereka untuk menjaga harta tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Masjid Keceriaan dan Kebersihan, Razak Abas pula berkata, seramai 2,000 penduduk Rantau Panjang mengikuti majlis tersebut dan tidak terkecuali pelajar tahfiz, ibu tunggal Rumah Kebajikan Orang Tua dan sebagai-nya.

“Kami dukacita memandangkan pihak yang mengugut beliau (Menteri Besar) adalah seagama dengan kita, sedangkan warga Thai, India dan Cina di sini begitu menghormati Tok Guru,” katanya.

Menurutnya, remaja sepatutnya memikirkan kesan dan akibat sebelum membuat sesuatu perkara sama ada boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat.

Beliau berkata, selepas ini, diharap tiada lagi kejadian seumpama ini berlaku kerana tindakan tersebut merupakan tindakan :tidak membawa kebaikan kepada semua.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.