SPRM pandang serius saksi berpaling tadah

Harakahdaily

PUTRAJAYA, 14 Mei: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius perbuatan saksi-saksi yang berpaling tadah dengan memberi keterangan bercanggah di mahkamah berbanding dengan pernyataan yang telah diberikan kepada pegawai SPRM semasa siasatan dijalankan.

Ini ekoran kebelakangan ini, SPRM mendapati beberapa individu yang dipertuduh kerana kesalahan melakukan jenayah rasuah dilepas dan dibebaskan disebabkan terdapat saksi memberi keterangan yang bercanggah berbanding pernyataan yang diberikan kepada pegawai SPRM semasa proses siasatan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull (gambar) berkata, sesuatu kertas siasatan bagi kes kesalahan jenayah rasuah akan dikemukakan kepada Bahagian Perundangan dan Pendakwaan untuk keputusan pendakwaan.

“Bahagian ini akan membuat keputusan sama ada untuk menuduh atau tidak individu yang telah disiasat itu berpandukan kepada keterangan yang terkumpul dalam siasatan,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, petang semalam.

Katanya, keterangan yang dikumpul itu adalah melalui pernyataan yang dirakam daripada saksi-saksi yang terlibat dalam siasatan sesuatu kes berkenaan.

Jelasnya, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) hanya akan mengeluarkan izin untuk mendakwa sebagaimana peruntukan Seksyen 58 Akta SPRM 2009 yang menyatakan bahawa ”pendakwaan sesuatu kesalahan di bawah Akta ini tidak boleh dimulakan kecuali oleh atau dengan keizinan Pendakwa Raya”.

Tambahnya, pertuduhan hanya akan dijalankan setelah keterangan yang diperoleh melalui rakaman pernyataan saksi-saksi dan lain-lain keterangan adalah mencukupi.

Justeru, katanya setiap individu yang dikehendaki untuk membantu sesuatu siasatan jenayah rasuah adalah dikehendaki memberi pernyataan yang benar semasa memberi pernyataan kepada pegawai SPRM.

Ini, ujarnya lagi selaras dengan kehendak peruntukan Seksyen 27(1) Akta SPRM 2009.

Peruntukan itu menyatakan: ”Jika mana-mana orang membuat atau menyebabkan manamana orang lain membuat kepada seseorang pegawai suruhanjaya atau pendakwa raya, semasa pegawai itu atau pendakwa raya menjalankan mana-mana kuasa yang diberikan oleh Akta ini, apa-apa pernyataan yang diketahui oleh orang yang membuat pernyataan itu, atau yang menyebabkan pernyataan itu dibuat:

(a) adalah palsu atau dimaksudkan untuk mengelirukan; atau

(b) tidak selaras dengan apa-apa pernyataan lain yang dibuat sebelum itu oleh orang itu kepada mana-mana orang yang mempunyai kuasa atau wenang di bawah mana-mana undang-undang, atau selainnya, untuk menerima, atau menghendaki supaya dibuat, pernyataan lain itu tidak kira sama ada atau tidak orang yang membuat pernyataan itu mempunyai apa-apa obligasi di sisi undang-undang atau obligasi lain untuk menyatakan yang benar, dia melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.”

“SPRM berasa kesal dengan kejadian seumpama ini kerana ia telah menyusahkan banyak pihak termasuk orang yang dituduh, mahkamah, saksi-saksi yang benar-benar hendak membanteras jenayah rasuah dan juga pihak SPRM sendiri,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, katanya keterangan yang benar perlu diberi oleh semua individu yang dikehendaki membantu dalam sesuatu siasatan jenayah rasuah dan seterusnya semasa memberi keterangan di mahkamah.

SPRM, menurutnya lagi ingin menarik perhatian saksi-saksi bahawa barang siapa dengan sengaja memberi keterangan palsu kepada mana-mana peringkat perbicaraan kehakiman, atau dengan sengaja mereka eterangan palsu bagi maksud digunakan pada mana-mana peringkat perbicaraan kehakiman adalah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang jika disabit, boleh dijatuhkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun, dan boleh juga dikenakan denda.

Sehubungan itu, katanya SPRM telah mencadangkan kepada Bahagian Perundangan dan Pendakwaan supaya tindakan yang sewajarnya diambil ke atas saksi-saksi seumpama itu dengan membuat pertuduhan ke atas mereka.

Beliau turut menyeru kepada orang ramai agar bukan sahaja tampil untuk memberi maklumat atau membuat aduan, tetapi juga bersedia untuk memberi keterangan yang benar dalam mahkamah apabila diperlukan.

“Dalam hal ini, tidak bercakap benar di mahkamah walau atas apa jua alasan atau faktor tidak akan membantu menjadikan negara ini sebagai sebuah negara yang bebas dari jenayah rasuah,” katanya.

Beliau menambah, semua pihak harus bersama memerangi perbuatan rasuah kerana tanggungjawab pembanterasan rasuah adalah tanggungjawab bersama.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.