PRK Sibu : Kempen Pakatan Rakyat Diganggu Polis

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat melahirkan rasa kesal dengan ugutan pihak berkuasa keatas penduduk tempatan yang membantu kempen Pakatan Rakyat.

Saifuddin Nasution hari ini menyelar tindak-tanduk aparatus kerajaan negeri itu sebagai melampaui batas dan biadap kepada proses demokrasi.

Dalam satu kejadian, pemilik restoran Idaman Cafe dipanggil ke balai polis, dan diugut lesen perniagaan akan ditarik oleh pihak berkuasa tempatan.
"Timbalan Ketua Angkatan Muda Fariz Musa kemudiannya dipanggil ke balai polis untuk memberi penjelasan kenapa PKR memilih Idaman Cafe. Mengapa hal ini menjadi isu sekarang walhal PKR telah menempah Idaman Cafe setiap malam dari awal sehingga ke hari mengundi," jelas Saifuddin.

Dalam perkembangan lain, forum DAP bersama pengundi Sibu di sebuah sekolah menengah malam ini terpaksa dibawa ke lokasi lain selepas pemilik premis mengadu telah ditekan oleh pihak tertentu.

"Kita telahpun memperoleh keizinan untuk program ini, malangnya sekarang ini kita diberitahu yang kita tidak lagi boleh meneruskan program ini di premis terbabit. Kita sekarang cuba mencari lokasi alternatif," kata Ketua Penerangan DAP Tony Pua.
Saifuddin mempersoalkan kewajaran polis menyiasat orang-orang tempatan yang membantu kempen Pakatan Rakyat, walhal urusan pilihanraya berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihanraya.

"Kita tidak mahu bergaduh dengan polis. Pilihanraya adalah pesta demokrasi untuk rakyat. SPR bertanggungjawab memastikan pilihanraya yang bersih, namun kelihatannya penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh polis berlaku tanpa segan-silu," katanya.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.