Amaran Sdr Syed Shahir Harus Kita Amati

Pagi semalam dalam acara di Klang bersama Menteri Besar, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Selangor Sdr Syed Shahir Mohamud memberi amaran bahawa pemilihan parti yang akan berlangsung bermula minggu ini akan memberi ruang kepada musuh jika tidak diurus dengan baik.

Syed Shahir juga merupakan Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat, Ketua Cabang KEADILAN Kelana Jaya di samping Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Saya fikir amaran Syed Shahir ini sesuai untuk kita teliti. Sesiapa yang mengenali Syed Shahir akan memahami maksud ucapannya. Jangan kita melatah atau melompat.

Dari awal ucapannya Syed Shahir mengalu-alukan sebarang anggota yang ingin menawarkan diri mereka untuk bertanding dalam pemilihan 2010.

Cuma dalam keghairahan KEADILAN mengalu-alukan anggota baru, wujud kerisauan bahawa pihak musuh cuba mengambil kesempatan. Beliau turut mengulas serangan yang berlaku di Facebook dan blog terhadap calon-calon yang bertanding.

Saya fikir amarannya ini tepat. Saya juga tidak setuju dengan beberapa pihak yang melihat pemilihan 2010 dan penyertaan anggota baru sebagai satu ancaman. Cuma sebagai parti yang telah melalui pelbagai onak dan duri dalam usia singkatnya, amaran itu berasas.

Dahulu KEADILAN dicemuh apabila wujud beberapa pemimpin parti dan wakil rakyat yang melompat dan menyerang parti.

Sanak-saudara dan rakan-taulan saya mengemukakan pelbagai soalan. Umumnya memahami mengapa KEADILAN menempuh pengalaman itu, tetapi saya juga tidak memandang rendah pandangan masyarakat. Sekiranya parti asyik melalui pengalaman tersebut, sedikit-sebanyak masyarakat tentu bertanya mengapa parti tidak cuba mengatasi masalah ini?

Kerisauan di kalangan anggota yang berhempas-pulas membina parti ini juga adalah kerisauan dari hati sanubari mereka. Sebelum Pilihan Raya Umum ke-12, berapa kerat yang sanggup di barisan hadapan bersama KEADILAN?

Saya masih ingat ketika saya mula-mula mengenal Syed Shahir secara peribadi, apabila saya menjadi anggota KEADILAN Cabang Kelana Jaya pada 2005 sebaik sahaja tamat pengajian. Kelana Jaya boleh dikatakan Cabang yang agak baik, namun itupun kami tidak punya pejabat selepas Sdr Ezam Mohd Noor menjual rumahnya di SS 7 Kelana Jaya. Mesyuarat pertama saya di Syed Bistro SS19 Subang Jaya. Mesyuarat kemudian banyak di Syed Bistro SS6 Kelana Jaya (berhampiran Giant) ataupun di rumah AJK parti.

Anggota yang sangat aktif juga terlalu sedikit. Apabila buat program, orang yang sama keluar duit; kemudian tulis, reka dan cetak risalah; malah orang yang sama turun untuk edar risalah. Saya sendiri berkenalan dengan salah seorang AJK AMK Kelana Jaya apabila saya sedang memasukkan handbill ceramah di Pangsapuri PKNS SS8 kira-kira jam 2 pagi. Individu tersebut sedang membaiki motornya dan menegur kami. Dari pengenalan itu beliau kini menjadi orang kuat KEADILAN Kelana Jaya! Hendak mendapat anggota datang ke Mesyuarat Agung Tahunan kena pelbagai pujuk dan rayu (rakan-rakan saya boleh menceritakan bagaimana saya cuba mendapatkan mereka hadir!)

Saya bernasib baik. Ramai lagi yang membina KEADILAN sejak Reformasi berhadapan sepak terajang anggota keselamatan, malah ditahan di dalam lokap. Ramai yang kehilangan kerja, perniagaan mahupun rosak rumah tangga mereka.

Tokoh-tokoh seperti Syed Shahir (seperti juga Dr. Syed Husin Ali yang hari ini mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden) melalui pengalaman ini lebih lama lagi menerusi Parti Rakyat Malaysia yang ditubuhkan sebelum kemerdekaan lagi.

Sewaktu Pilihan Raya Umum 2008 anggota-anggota inilah yang menjadi tulang belakang kempen di sebalik segala kekurangannya.

Saya menyedari untuk bergerak ke hadapan, KEADILAN perlu berkembang dan menerima penyertaan anggota baru. Tetapi jangan kita memperkecilkan tulang belakang yang istiqamah selama ini. Sementara kita mahukan mereka berlapang dada menerima penyertaan baru, mereka juga mengharapkan anggota baru yang masuk ketika zaman KEADILAN dan Pakatan Rakyat memegang Kerajaan Negeri, sudah ada pejabat selesa dan tidak lagi dipandang enteng untuk menunjukkan komitmen dapat bersama parti dalam apa jua keadaan. Apatah lagi kita dikhianati oleh beberapa tokoh murahan lama dan baru selepas kemenangan.

Insya Allah, dalam usaha kita menyuburkan demokrasi dalam parti, peringatan ini terus segar di ingatan kita agar perjuangan yang kita bina selama ini akan terus berkembang kukuh menuju ke Putrajaya.

Seperti kata-kata Dr Syed Husin:

“Saya berharap dan berdoa agar KEADILAN Pusat, Wanita dan Angkatan Muda akan dipimpin oleh tokoh-tokoh yang komited kepada asas-asas perjuangan Parti seperti termaktub dalam Perlembagaannya, menghormati disiplin organisasi Parti, sudah teruji merentas duri dan ranjau perjuangan, bergerak secara pemain berpasukan (team player), menentang amalan korupsi dalam segala bentuk dan mendukung nilai akhlak yang tinggi.”

[Sumber]

No comments

Powered by Blogger.